Home Nasional Tutup terminal feri: Pemandu teksi protes mahu undi calon bebas

Tutup terminal feri: Pemandu teksi protes mahu undi calon bebas

Timbalan Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian, Mahmud Johari bergambar bersama pemandu-pemandu teksi selepas ditemubual sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Pontian, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pengundi-pengundi dalam kalangan pemandu teksi dan kereta sewa di sini bakal menunjukkan protes menerusi undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November ini.

Difahamkan, tindakan mereka itu adalah sebagai rasa tidak puas hati setelah kerajaan negeri menutup Terminal Feri Antarabangsa Kukup sejak dua bulan lalu yang sememangnya menjadi nadi kepada pemandu teksi di daerah Kukup untuk mendapatkan penumpang.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, pemandu-pemandu teksi akan menjadikan PRK tersebut sebagai referendum kepada kerajaan bahawa keputusan menutup terminal feri berkenaan sebagai satu tindakan salah dan dibuat tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi oleh pemandu teksi.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian, Mahmud Johari berkata, sejak terminal feri itu ditutup pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa sukar untuk cari makan ekoran kurangnya penumpang yang mendapatkan khidmat mereka.

Mahmud Johari

Beliau mendakwa, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menutup terminal feri berkenaan meskipun berlaku kemelut antara syarikat operator feri dengan kerajaan negeri.

“Sekarang ini penumpang-penumpang feri dari Tanjung Balai, Indonesia menggunakan Terminal Feri Antarabngsa Puteri Harbour, di Nusajaya yang telah berpindah ke sana.

“Kalau dahulu pemandu teksi di sini boleh dapat pendapatan sehingga RM100 sehari tapi, sekarang nak dapat RM20 sehari pun susah.

“Terminal feri itu sahajalah yang menjadi nadi dan dapat membantu kami pemandu teksi untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Seorang pemandu teksi, Tan Ah Tee, 70, berkata, pemandu-pemandu teksi kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tan Ah Tee

Ini kerana katanya, kehidupan pemandu teksi di sini semakin terhimpit bukan sahaja selepas penutupan Terminal Feri Kukup sebaliknya selepas segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu tidak lagi diterima.

“Saya tidak faham mengapa terminal feri itu ditutup sedangkan ia merupakan tempat pencarian kami selama ini.

“Tidak wajar jika mereka (kerajaan negeri) ada masalah dengan operator pengendali, terminal itu hendak ditutup pula.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi Tan Tuan Boon, 72, menegaskan, pemandu-pemandu akan menunjukkan protes mereka pada PRK berkenaan dengan memberikan sokongan kepada calon bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar yang mewakili pemandu teksi.

Katanya, dia yakin Faridah mampu menjadi suara kepada pemandu-pemandu teksi yang selama ini memendam rasa dan mahukan pembelaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Tan Tuan Boon

“Kami akan bagi undi kepada calon bebas ini kerana dia akan membawa suara kami pemandu teksi.

“Sudah tiba masanya kami mahu hentikan penderitaan ini. Kami harap PRK ini dapat mengajar mereka (kerajaan negeri) yang telah menganiaya semua pemandu teksi kawasan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette