Home Ekonomi Ringgit diramal naik berbanding dolar

Ringgit diramal naik berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal pada paras 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan jangkaan kelemahan mata wang negara maju itu serta peningkatan harga komoditi.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, kenyataan Presiden Donald Trump yang lebih berminat melihat dolar AS lemah, turut meningkatkan ringgit.

“Kenyataan Trump itu menyebabkan pelabur mengalihkan minat mereka kepada mata wang pasaran negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.

Nazri Khan berkata, harga minyak mentah global yang lebih kukuh pada sekitar AS$54 setong baru-baru ini, turut mendorong kenaikan ringgit.

“Selain itu, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar China yang melebihi jangkaan iaitu naik sebanyak 6.9 peratus pada suku pertama tahun ini, juga secara tidak langsung turut memacu pergerakan ringgit.

“Apabila ekonomi China kukuh, maka eksport Malaysia ke negara itu akan turut meningkat,” katanya.

Pada awal bulan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengumumkan bahawa perdagangan dua hala antara Malaysia-China meningkat sebanyak 28.9 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun kepada RM19.79 bilion pada Februari 2017 dan menyaksikan eksport melonjak 47.6 peratus kepada RM9.57 billion.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit didagangkan bercampur-campur dan berlegar dalam lingkungan 4.3960 dan 4.4090 berbanding dolar AS.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1466/1485 daripada 3.1521/1572 minggu lalu dan meningkat berbanding yen kepada 4.0286/0315 daripada 4.0450/0503.

Unit tempatan itu bagaimanapun lemah berbanding pound Britain kepada 5.6259/6298 daripada 5.5107/5187 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding euro pada 4.7076/7111 daripada 4.6786/6847, minggu lepas. – MalaysiaGazette