SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bertukar kecoh hampir 10 minit apabila ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap wanita.
Ia susulan cadangan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud agar kouta wanita dinaikkan kepada 50 peratus dalam semua jawatan penting di negeri itu.
“Kadang kala wanita ini apabila nakkan korum (jawatan) untuk membuat keputusan, dia tak rasional, dia emosional.
“Itu satu jumlah yang besar, 30 peratus bolehlah.
“Sebab itu saya kata lebih baik bagi 15 peratus, akan datang naik 30 peratus, ini dia nak 50 peratus,” katanya pada sidang DUN Selangor di sini, hari ini.
Sidang DUN Selangor bertambah panas apabila Mohd Shaid menuduh golongan wanita sebagai emosional apabila membuat keputusan sekiranya diberikan jawatan penting.
Kesal dengan kenyataan itu, kebanyakan wakil rakyat bersuara dan mendesak ADUN Jeram itu menarik balik kenyataan seksi itu termasuk ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.
“Saya minta Jeram untuk tarik balik, dan buat sedikit reflection apa yang disebut tadi.
“Memang kita ada perutukan di bawah peraturan tetap dan ini bukan kali pertama wakil rakyat menghina wanita dalam dewan yang mulia ini.
“Saya rasa itu bukan fakta, itu pendapat, saya minta Jeram sekali lagi untuk tarik balik,” tegasnya.
Bagaimanapun Mohd Shaid enggan menarik balik kenyataannya, sebaliknya mempertahankan tindakannya itu sebagai hak kebebasan bersuara.
“YB, kita ini demokrasi, tak timbul isu nak tarik balik, itu pandangan peribadi saya
“Saya berhak untuk bersuara bagi memberi pandangan, sama ada pandangan saya diterima atau tidak, itu terpulang.
“Kalau YB minta saya tarik balik, itu tak patut. Ini bukan menghina, saya memberi satu fakta.
“Orang sedia maklum kadang-kala wanita buat keputusan secara emosional,” katanya sambil meminta maaf kepada dewan dan enggan menarik balik kenyataan itu. – MalaysiaGazette