KUALA LUMPUR – Kumpulan basikal lajak dilhat berpotensi menjadi pelumba mewakili Malaysia, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, hobi kumpulan basikal lajak ini boleh disalurkan kepada cara yang lebih positif dan bermanfaat tanpa mendiskriminasi atau mengetepikan mereka.
Sehubungan dengan itu, katanya, pihak kementerian akan mengajurkan latihan khusus kepada kumpulan yang berminat dengan sukan basikal menerusi penyediaan litar yang sesuai dan alat keselamatan yang lengkap.
“Ada perkara yang telah dilakukan kementerian sebelum ini. Semua ini dibuat sebelum kemalangan berlaku (lagi), kita adakan banyak bengkel basikal dengan kumpulan itu.
“Jika kita ketepikan mereka, mereka tetap akan buat dan pada akhirnya nanti mereka akan kehilangan nyawa.
“Kita boleh latih mereka juga jadi pelumba basikal untuk Malaysia bagi jangka masa panjang. Namun yang penting keselamatan sangat penting sebab kita tidak mahu ia dipandang ringan,”katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Menurutnya, hasil program yang diadakan kementerian tersebut sebelum ini dengan mendekati komuniti tersebut mendapati ada yang yang minat mengubahsuai basikal, ada juga yang hanya minat untuk berlumba.
“Program terakhir yang saya sendiri sertai adalah di Gombak, masa tu ada dalam 150 komuniti basikal lajak yang turut bersama.
“Ada dua, satu yang suka ubah suai, yang ni kita boleh masukkan mereka dalam IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara). Kedua yang suka kepada kelajuan. Tapi tak boleh tak ada brek,” katanya lagi.
Isu basikal lajak baru-baru ini kembali diperkatakan selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.
Kemudian kegiataan beberapa remaja berbasikal di jalan raya yang membahayakan keselamatan mula tular kembali di laman sosial dan mengundang pelbagai reaksi warganet.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Wong Yau Duenn semalam dilaporkan sebagai berkata kegiatan ini wajar diharamkan bagi mengelak sebarang risiko kemalangan ke atas penunggangnya atau pengguna jalan raya lain.-MalaysiaGazette