Home Nasional Pakej rangsangan ekonomi bincang di kabinet – Muhyiddin

Pakej rangsangan ekonomi bincang di kabinet – Muhyiddin

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kiri) bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Pontian, Johor.foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

KUKUP – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan Pakej Rangsangan Stimulasi di bawa ke kabinet untuk memberi suntikan kepada pertumbuhan ekonomi yang sedikit lembab ketika ini.

Pakej rangsangan yang pertama kali dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 baru-baru ini.

“Saya duduk dalam kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad setiap minggu berbincang dan begitu juga semalam di Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan memberi pandangan dan langkah langkah perlu.

“Saya nak cadangkan Menteri Kewangan juga supaya dalam situasi ekonomi tak berapa kukuh, untuk dilihat balik dalam belanjawan ini kalau boleh tahun hadapan, adakan pakej stimulasi atau pakej rangsangan.

“Ini saya sebut di sini kali pertama dan saya akan bincang di kabinet akan datang bersama PM dan Lim Guan Eng ini keseluruhan bukannya sebab Tanjung Piai supaya ekonomi kita akan bertambah kukuh mantap, eksport kita meningkat, harga sawit sudah stabil bertambah baik sikit,” katanya dalam sidang media kempen PRK di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.

Tambah Muhyiddin, pakej stimulasi bermaknanya dalam keadaan ekonomi sekarang dan kalau rakyat tidak berbelanja banyak ekonomi lagi merudum.

“Zaman-zaman dulu saya tahu waktu ekonomi perlahan, kita menyuntik dana beberapa bilion ringgit RM2 hingga RM4 bilion dan naik 1 hingga 2 peratus pun ia bermakna kita berjaya menyekat kemerosotannya.

“Ini ada petanda rating Malaysia di peringkat antarabangsa, tak terjejas langkah-langkah untuk mengurangkan hutang negara sudah diambil menyelesaikan isu 1MDB.

“Jadi, kalau masih tak nampak inisiatif yang besar sedang diambil PH ini saya tak tahulah nak cakap apa lagi. Kami sedang berusaha keras secara ikhlas untuk menyelesaikan masalah ekonomi ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette

+ posts