Home Nasional Warga Vietnam jadi mangsa eksploitasi seks

Warga Vietnam jadi mangsa eksploitasi seks

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyelamatkan tiga orang wanita warga Vietnam yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks oleh satu sindiket pelacuran baru-baru ini.

Bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan, pasukan operasi telah membuat serbuan terhadap sebuah premis pelacuran di Kota Kemuning, Selangor.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemui enam orang wanita warga Vietnam dan Indonesia yang disyaki pekerja seks di premis tersebut.

“Hasil siasatan awal telah mendapati tiga daripada enam orang pekerja tersebut dipercayai telah menjadi mangsa eksploitasi seks,” kata Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa itu berumur 18 tahun adalah warga Vietnam telah diselamatkan dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kesemua mangsa yang diselamatkan diberi perlindungan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan.

Operasi khas melibatkan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Pasukan Task Force MAPO Kementerian Dalam Negeri pada 5 November lalu.

“Pasukan operasi telah menangkap 1 orang lelaki tempatan berumur 37 tahun bersama teman wanitanya warganegara Vietnam serta seorang wanita warganegara Myanmar yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis yang berperanan menguruskan aktiviti pelacuran tersebut,” ujarnya.

Ketiga-tiga mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan juga didenda tidak lebih RM150,000.

Turut ditahan tiga orang wanita pekerja seks yang lain terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh di kenakan tidak lebih daripada enam sebatan.-MalaysiaGazette