KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semakin menyerlah dalam dunia inovasi.
Terkini dua orang mahasiswi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan elektronik (FTKEE) telah dinobatkan juara Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan UNIMAKER 2019 menerusi aplikasi rekaan mereka.
Majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan UNIMAKER 2019 tersebut telah diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.
Aplikasi digelar sebagai Mata tersebut dibangunkan oleh Nurul Najwa Zawawi dan Nur Aliah Mohamad Napiah bagi membantu khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan agar mereka mampu mengenal pasti jenis duit, warna serta mencari barang.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim gembira dengan pencapaian ini serta mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelajar UTeM dan penyelia mereka atas anugerah yang diterima dalam mengharumkan nama UTeM di peringkat kebangsaan.
Ujar beliau, menerusi Aplikasi Mata yang dibangunkan oleh mahasiswi tersebut, golongan OKU penglihatan hanya perlu menghalakan kamera ke sesuatu objek untuk dikenalpasti dengan lebih mudah.
Menurut penyelia mereka yang merupakan Jurutera Pengajar FTKEE, Noor Mohd Ariff Brahin, sebelum membangunkan aplikasi tersebut, mahasiswi terlibat telah membuat pelbagai penyelidikan berkenaan apa yang diperlukan oleh golongan tersebut.
Katanya, dapatan dari penyelidikan tersebut mendapati bahawa kebanyakkan dari mereka mengalami kesukaran dalam mengenalpasti jenis wang serta mencari barang seperti kunci dan tongkat.
Aplikasi Mata tersebut telah mendahului lebih 40 peserta dari 20 universiti awam (UA) yang mengambil bahagian dan hadiah kemenangan bernilai RM5,000 telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik pada penyampaian hadiah Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan UNIMAKER 2019.
Nur Aliah Mohamad Napiah sewaktu mengulas mengenai aplikasi tersebut menyatakan bahawa aplikasi tersebut kini boleh dimuat turun menerusi Google AppStore dimana aplikasi ini hanya perlu menggunakan data internet semasa dimuat turun sahaja dan selepas itu, ia boleh berfungsi tanpa sebarang penggunaan data.
Katanya lagi, setakat ini, ada lebih 30 barang boleh kenal pasti oleh aplikasi ini, terutama yang berada di rumah dan dijangka bahawa bilangan barang yang boleh dikenal pasti akan meningkat dari masa ke masa.- MalaysiaGazette