Home Ekonomi Kerajaan tawar 72 plot tanah bangunkan rumah mampu milik kepada swasta

Kerajaan tawar 72 plot tanah bangunkan rumah mampu milik kepada swasta

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) melawat ruang pameran pada Majlis Pra Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik (SWASTA) di The Everly, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan menawarkan 72 plot tanah untuk ditender kepada pemaju-pemaju swasta bagi dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik di seluruh negara menjelang Januari 2020.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya sedang menyediakan kertas tender.

“Kami telah menyusun bahagian perumahan yang merangkumi PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) dan diletakkan di bawah Jabatan Perumahan Negara dan ini menghasilkan 72 plot tanah yang bakal ditender untuk dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik,” katanya.

Jelasnya, satu plot tanah boleh dibangunkan kira-kira 1,000 unit rumah.

Langkah tersebut, menurut Zuraida, adalah selari dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik kepada rakyat.

“Kami sedang menyediakan kertas tender dan melakukannya dengan berhati-hati.

“Pelancaran bidaan akan dilaksanakan pada Januari 2020,” katanya semasa sidang media selepas majlis pra-pelancaran Projek Perumahan Awam Swasta di sini hari ini.

Menurut Zuraida, KPKT juga sedang berbincang dengan Kementerian Perumahan, Kementerian Pelajaran Malaysia serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (bagi projek perumahan generasi kedua Felda) untuk meletakkan bank-bank tanah di kementerian masing-masing di bawah Jabatan Perumahan Negara.

Jabatan Perumahan Negara adalah salah sebuah jabatan di bawah KPKT.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kenyataan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) yang mendakwa kerajaan sekarang meneruskan amalan Barisan Nasional dengan memberikan pelanjutan masa (EOT) kepada pemaju-pemaju perumahan untuk menyerahkan projek mereka kepada pembeli tanpa sebarang alasan yang munasabah, Zuraida menjelaskan, tiada EOT dikeluarkan sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan setakat ini.

Kesemua EOT yang didedahkan oleh KPKT baru-baru ini diluluskan pada zaman BN, tegasnya.

Untuk rekod, semua pemaju perumahan perlu menyiapkan projek masing-masing dan menyerahkan kunci kepada pembeli dalam tempoh 24 bulan (bagi hartanah atas tanah) atau 36 bulan (hartanah strata) daripada tarikh pemeteraian perjanjian jual dan beli.

Sekiranya gagal, pemaju perlu membayar ganti rugi kepada pembeli.

Bagaimanapun, tempoh penyerahan boleh ditunda tanpa perlu membayar pampasan sekiranya pemaju mendapat EOT daripada pengawal perumahan atau KPKT dengan alasan tertentu.-MalaysiaGazette