KUALA LUMPUR – Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak menghantar pulang pendakwah, Zakir Naik ke India, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
Bagi tujuan itu, kata Saifuddin, Malaysia akan menghantar surat kepada kerajaan India untuk menjelaskan keputusan berkenaan selepas mendapat pandangan Peguam Negara Thommy Thomas dan persetujuan Kabinet.
Jelas Saifuddin, keputusan itu dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana negara asing.
“Kita dah balas nota yang kita hantar dalam pertemuan dengan menteri luar India minggu lalu, masa sidang kemuncak ASEAN dia mengulangi bahawa India menghantar surat secara rasmi minta ekstradisi Zakir Naik, (India) minta kerajaan jawab secara spesifik.
“Pendirian tak berubah, tapi untuk hantar surat ada kaedah bahasa kandungan sesuai dengan bahasa undang-undang. Kandungan (surat) kena bincang dengan peguam negara.
“Kita buat keputusan bukan atas tekanan mana-mana negara asing tapi atas perkiraan sendiri,” katanya seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini.
Saifuddin berkata demikian ketika ditemui di Kuala Lumpur, malam tadi selepas Syarahan Umum Tokoh Kuliah Bangsar Utama.
Jelas Saifuddin, India bukan satu-satunya negara yang mana Malaysia tidak memenuhi permintaan supaya menghantar pulang rakyatnya.
Khamis lalu di Parlimen, Saifuddin memaklumkan yang Malaysia akan menghantar surat rasmi kepada India bagi menyatakan pendirian berhubung keputusan untuk tidak menghantar pulang pendakwah bebas itu.
Pada 17 Sep lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan memaklumkan yang Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak membuat sebarang permohonan kepada Malaysia supaya menghantar pulang Zakir.
Perdana menteri berkata penceramah kontroversi itu adalah antara perkara yang dibincangkan dengan rakan sejawatnya semasa perjumpaan di luar Forum Ekonomi Timur di Rusia awal bulan itu.
“Tidak banyak negara mahukannya. India tidak bertegas (mengambilnya).
“Saya bertemu dengan Modi (dan) dia tidak beritahu saya yang dia mahukan orang ini (Zakir),” kata Mahathir.
Sementara itu, dalam syarahannya, mengulas perkembangan isu lain, Saifuddin berkata beliau hairan apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub akan dipanggil polis berhubung kenyataan yang dikatakan menghasut ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Sedangkan, Salahuddin kata Saifuddin hanya menyanggah pendapat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung isu kafir harbi dan kafir zimmi.
“Bila Hadi cakap kafir harbi, kafir zimmi…tak apalah itu syarahan dia, saya tetap tidak setuju.
“Tapi, bila Salahuddin sanggah dia (Hadi), Salahuddin pula disiasat polis, kenapa Salahuddin kena siasat, sepatutnya Hadi,” katanya.
Pada 6 Nov lalu, polis memaklumkan akan memanggil Salahuddin untuk memberi keterangan jika perlu berhubung kenyataannya ketika kempen PRK Tanjung Piai.
Dalam video ucapan Salahuddin yang tular itu, pemimpin Amanah berkenaan berkata Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa.
Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio di Kukup Laut.
Ketua Polis Daerah Pontian, Mustafa Bakri Salleh berkata buat masa ini polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Salahuddin dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia. – MalaysiaGazette