KETENANGAN kampung-kampung dan pekan Tg. Piai khususnya dan daerah Pontian amnya terusik dengan adanya PRK yang akan berlangsung pada 16.11.2019 ini.
Dengan kata lain, Tanjung. Piai memilih lagi. Kembalinya ahli parlimen PH dari parti Bersatu kerahmatullah iaitu Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri benar-benar mendukacitakan ahli keluarganya, rakan-rakan dan semua yang mengenalinya baik dari dekat mahupun jauh. Salam takziah buat keluarga Allahyarham.
Sehubungan dengan itu, maka SPR telah menetapkan PRK Parlimen Tg. Piai diadakan pada 16.11.2019.
PRK ini memperlihatkan pertarungan enam penjuru. Namun demikian, kemuncak sebenar pertarungan adalah di antara dua seteru utama iaitu PH dan BN.
Menariknya pertarungan yang boleh dianggap mengukur populariti kedua-dua belah pihak khususnya PH yang telah mentadbir negara sekitar 19 bulan.
Namun begitu, PRK ini turut penting buat BN dalam menguji model baru politiknya bersama Pas iaitu menerusi Muafakat Nasional.
PRK ini akan menjadi pengukur penting dalam menilai sejauh mana orang Melayu khususnya dalam UMNO dapat menerima hakikat yang kerusi ini terus kekal di tangan MCA tatkala parti ini berada pada kedudukan begitu lemah sepanjang sejarah penubuhannya.
Tidak menjadi rahsia akan bukan sedikit kecewanya orang UMNO apabila pucuk kepimpinan parti baik UMNO mahupun BN memilih calun dari MCA.
Sejak tewas teruk dalam PRU lalu, UMNO yang dilihat ‘bermati-matian’ berusaha medepani ‘pukulan-pukulan’ keras PH.
Di peringkat permulaan memang BN nampak cukup teruk, namun beberapa bulan sebelum PRK Cameron Highlands, momentum sokongan rakyat kepada BN khususnya dalam kalangan orang Melayu mula kembali.
Pada asasnya ia disebabkan ‘kegagalan’ PH menunaikan janji-janji manifestonya dan ‘kegagalannya’ memastikan persekitaran yang ‘aman dan harmoni’ buat rakyat meneruskan kehidupan.
Di samping itu pembentukan Muafakat Nasional yang mana dua seteru iaitu UMNO dan PAS bersetuju untuk berada dalam satu pasukan demi kelangsungan orang Melayu khasnya dan lain-lain bangsa amnya.
Sesungguhnya, perkembangan positif ini sudah cukup lama dinanti-nantikan oleh orang Melayu yang berpegangan sederhana baik di dalam UMNO, PAS mahupun yang tidak berparti.
Harapan serupa untuk parti-parti berteraskan Melayu dan Islam seperti Bersatu, Amanah dan juga Keadilan dapat bersama amat dinanti-nantikan.
Bersatunya parti-parti Melayu sewajarnya bukan untuk menakut-nakutkan bangsa lain seperti Cina dan India mahupun Sabah dan Sarawak tetapi untuk memperbetulkan kembali segala ‘kepincangan’ yang berlaku.
Benar iaitu disebalik segala usaha dan kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan BN semasa memerintah dahulu, pastinya ada kelemahan.
Perkara sama juga dihadapi oleh kerajaan hari di mana hingga ke saat ini masih tercari-cari dasar dan halatuju yang komprehensif.
Dari lensa politik BN, pastinya kemenangan di Tanjung Piai ini akan terus menjadi pembakar semangat mereka.
Namun total reformasi khususnya dalam UMNO wajar kekal menjadi agenda utama parti ini.
Dengan kata lain, keperluan memenangi PRK Tanjung. Piai adalah ‘kecil’ jika dibandingkan dengan keperluan melakukan total reformasi yang mana jika berjaya dilakukan boleh membawa kepada peluang memenangi hati seluruh rakyat Malaysia di PRU15 akan datang.
Kegagalan melakukan total reformasi tidak memustahilkan impian UMNO dan Muafakat Nasional untuk mengambil alih Putrajaya akan tergendala.
Kembali kepada keluhan mahupun kemarahan para pemimpin dan pendukung UMNO dan Pas di Tanjung. Piai khususnya dan seluruh negara amnya perlu diredakan segera dan ditangani secara matang.
Benar, bukan mudah untuk UMNO dan PAS mendepani hujah-hujah yang dibangkitkan oleh pihak lawan khususnya perkara berkaitan RUU355 dan hudud yang terang-terang ditentang oleh MCA.
Dalam hal ini, PAS menjadi ‘belasahan’ pihak lawan kerana kerjasama dalam Muafakat Nasional ‘menjerumuskannya’ ke dalam polemik ‘kecelaruan’ pendirian khususnya berkaitan dua perkara ini iaitu RUU355 dan hudud yang ditentang kuat oleh MCA.
Untuk mengimbangi implikasi negatif akan polemik ini, PAS mahupun UMNO pastinya mengajak para pengundi PRK Tg. Piai dan seluruh negara melihat perkara ini dari sudut yang luas dan menyeluruh.
Dengan kata lain, kemenangan calun BN iaitu Dr. Wee Jeck Seng, tidak akan mengubah apa-apa secara drastik akan kedudukan BN di parlimen kerana BN akan kekal pembangkang.
Namun demikian, jika kemenangan PRK ini memihak kepada BN, ia pasti menjadi pemangkin keghairahan untuk Muafakat Nasional terus memperkukuhkan jenama mereka dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu meliputi bangsa-bangsa lain seperti Cina, India, Sabah dan Sarawak.
Pastinya ia akan memberi tamparan hebat kepada PH. Sewajarnya PH mengambil langkah serius untuk memperbaiki reputasinya yang akan bertambah terjejas jika mereka kalah dalam PRK ini.
Dari lensa BN, kemenangan itu akan membuktikan bahawa UMNO adalah sahabat yang kekal setia bersama sahabatnya walaupun pada ketika sahabatnya itu berada dalam keadaan begitu lemah.
Kesanggupan UMNO memberikan peluang yang begitu cerah untuk dirinya sendiri menang dengan meletakkan calun dari parti sahabatnya iaitu MCA wajar dipuji. Inilah kematangan politik yang dimiliki oleh UMNO.
Dengan kata lain, UMNO dan PAS sanggup mendahulukan sahabat yang benar-benar memerlukan kemenangan demi memanstikan mereka terus bernafas dan bersemangat untuk terus hidup mahupun berjuang.
Sewajarnya parti MCA dan pengundi Cina di Tanjung. Piai dan di seluruh negara sedar betapa sederhananya dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan PAS dalam berpolitik.
Masih belum nampakkah masyarakat Cina khususnya, India dan lain-lain bangsa amnya akan cantiknya model politik jalur sederhana dan dalam hal ini tawaran yang dibuat oleh BN menerusi koalasi baru yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.
Sekiranya PH juga mengimpikan perkara serupa maka satu langkah drastik perlu diambil agar gabungan yang dibentuk mampu menghilangkan rasa ‘resah’ hati rakyat.
Dengan kata lain, berusaha menjadikan kerajaan yang benar-benar adil buat seluruh rakyat dan keadilan itu berpandukan kepada Perlembangaan negara amat perlu buat PH.
Semoga semua yang berkempen di Tanjung. Piai tidak terus-terusan memainkan api kebencian berasaskan agama dan bangsa.
Sayangilah negara kita. Marilah kita bina dan majukan negara kita Malaysia ini bersama-sama.
Jika ada yang buruk, mari kita sama-sama elokkan. Jika ada yang rosak, mari sama-sama kita baiki. Jika ada yang salah, mari sama-sama kita tunjuk ajar. Kita pasti boleh melakukannya.
Selamat mengundi warga Tanjung. Piai.