KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil tanggungjawab dengan kegagalan pasukannya gagal ke separuh akhir dalam saingan Piala FA malam tadi.
Bagaimanapun, beliau memuji para pemainnya yang telah memberikan 100 peratus komitmen yang berlangsung di tempat sendiri itu.
“Tetap kesilapan kami kerana sewaktu bermain di tempat lawan, kami tidak menggunakan sepenuh kesempatan pada masa itu. Dan kesudahannya, ia adalah salah kami.
“Kita semua maklum bahawa sepatutnya terdapat tiga jaringan gol dan perlawanan ini mungkin berakhir dengan keputusan 3-0 dan amat jelas ia sepatutnya beroleh penalti namun tidak diberikan oleh pengadil.
“Pada saya ia adalah satu keputusan yang teruk dan ia mempengaruhi permainan. Ia disebabkan oleh dua sebab, pertama kerana kami tewas 1-3 sewaktu bermain di Pahang, di mana kami tidak bermain dengan baik dan jelas kami bermula semula dengan dua gol serta masih mencari gol namun setelah tidak mendapat penalti, ia telah mengganggu permainan,” katanya dalam laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers di sini hari ini.
Malam tadi, hajat JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musnah selepas sekadar menewaskan Pahang 2-1 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Kemenangan tipis itu menyaksikan anak buah Benjamin Mora terpaksa akur tewas 3-4 secara agregat sekali gus membolehkan Pahang mara ke separuh akhir menentang Negeri Sembilan.
Mohamadou Sumareh menjadi wira buat skuad Tok Gajah selepas menjaring gol penting pada hujung perlawanan sekali gus meranapkan impian Harimau Selatan. -MalaysiaGazette