PYONGYANG – Korea Utara berkata ia bersedia untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) bagi menunjukkan keupayaan ketenteraannya.
Menurut Reuters, ia merupakan satu lagi petunjuk terkini yang menunjukkan hubungan di antara kedua-dua negara semakin tegang apabila Presiden Donald Trump mahu berjumpa dengan pemimpin China dan Jepun.
AS mengarahkan kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson untuk berlayar ke Semenanjung Korea sebagai maklum balas kepada kebimbangan terhadap ujian nuklear dan peluru berpandu daripada Korea Utara dan ancamannya untuk menyerang Amerika Syarikat serta sekutu-sekutunya di Asia.
Kerajaan AS tidak menyatakan arah tuju kapal tersebut secara khusus kerana ia sedang menghampiri kawassan berkenaan.
Naib Presiden AS, Mike Pence berkata, ia akan tiba dalam tempoh beberapa hari namun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Akhbar milik parti pemerintah Korea Utara, Rodong Sinmun berkata; “ Angkatan ketenteraan kami sedia untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat yang dikuasakan tenaga nuklear dengan sekali tembakan sahaja.”
Akhbar tersebut mengaitkan kapal milik AS itu sebagai seekor binatang jijik dan berkata, serangan berkenaan adalah contoh paling tepat untuk menggambarkan kekuatan ketenteraan Korea Utara.-MalaysiaGazette