PONTIAN – Kempen calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar yang baru bermula selepas sembilan hari penamaan calon pada 2 November lalu didakwa diganggu oleh tiga individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, insiden berlaku semalam ketika rombongan jenteranya mengadakan walkabout di Pasar Malam, di Taman Utama dekat Pekan Nanas semalam.
Beliau berkata, mereka didatangi beberapa lelaki yang mendakwa pegawai SPR dan meminta agar calon dan rombongannya beredar dari kawasan pasar malam dengan alasaan tidak mempunyai permit untuk berkempen di situ.
“Mereka dengan angkuh telah menengking kami dan meminta kami supaya pergi dari situ. Mereka mengatakan bahawa apa yang kami buat telah menyalahi undang-undang SPR.
“Perbuatan individu-individu terbabit benar-benar memalukan calon kami kerana ketika itu beberapa wartawan turut berada di pasar malam tersebut,” katanya yang turut memberitahu semasa kejadian beliau turut berada di situ.
Shamsubahrin menjelaskan, walaupun telah dinyatakan kepada mereka bahawa kempen yang dilakukan telah mendapat permit daripada Ibu Pejabat Polis Pontian namun, individu-individu terbabit tidah mengendahkannya.
Bagaimanapun beliuau berkata, mereka tidak menggunakan kekerasan sebaliknya, hanya menghalang jentera daripada memasuki kawasan pasar malam.
Katanya, laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan di Balai Polis Permas pukul 10 malam pada hari sama.
Dalam pada itu, Shamsubahrin menggesa supaya semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai agar berkempen secara bersih dan sihat.
Ujarnya, tidak perlu menggunakan strategi kotor dalam usaha untuk mencapai kemenangan kerana penentunya nanti akan dibuat oleh pengundi-pengundi di Tanjung Piai sendiri.
“Dah 60 tahun dah, buanglah cara kempen yang lama. Kita dah sepatutnya mulakan dengan cara yang baru,” ujarnya. – MalaysiaGazette