KUKUP – Pembukaan Terminal Feri Antarabangsa Kukup memberi nafas baharu kepada perniaga dan nelayan untuk kembali berurusniaga dan meningkatkan produktiviti di kemudahan yang disediakan itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau percaya ia merupakan langkah tepat dan terbaik yang diambil kerajaan negeri Johor untuk membela dan melindungi sara hidup golongan nelayan yang bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan mereka
“Saya percaya antara langkah yang telah diambil kerajaan negeri adalah segera membuka semula operasi jeti di kawasan ini yang memberi kemudahan kepada nelayan dan peniaga-peniaga gembira dengan keputusan kerajaan negeri ini.
“Kita akan melihat keperluan membantu mereka pada masa akan datang,” katanya selepas perjumpan santai bersama komuniti nelayan di Kampung Kukup Laut di sini yang ditemani Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Hadir pada majlis Menteri Pertanian merangkap Ahli Parlimen Pulai dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Ditanya masalah berbangkit serta kerugian jutaan ringgit ekoran insiden kematian ikan peliharaan dalam sangkar, Azmin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertanggungjawab meneliti perkara itu supaya tidak berulang.
“Dan tanggungjawab kami di antara kementerian dan negeri adalah untuk terus membantu nelayan memastikan mereka dapat menjalankan operasi perikanan di laut dengan baik dan meningkatkan produktiviti dan hasil mereka pada masa hadapan tanpa kekangan,” ujarnya.
Lawatan itu merupakan antara program sehari Ahli Parlimen Gombak itu di Tanjung Piai. – MalaysiaGazette