Home Ekonomi Sime Darby rancang jual aset bukan teras

Sime Darby rancang jual aset bukan teras

KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd. merancang untuk mengurangkan aset-aset bukan terasnya sebagai salah satu bahagian daripada pelan lima tahun konglomerat itu dalam mencipta nilai selepas dua tahun pelaksanaan aktiviti pemisahan.

Ini termasuk pelupusan Weifang Sime Darby Water Management Co. Ltd dan Sime Darby Global Service Centre di samping melupuskan kepentingan dalam Fiat dan Alfa Romeo di Australia.

Dalam satu temubual dengan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Sime Darby bagaimanapun tidak mahu terburu-buru di dalam melakukan sebarang penjualan.

“Kami mempunyai hala tuju yang jelas di dalam pelupusan aset-aset bukan teras.

“Namun begitu, kami tidak mahu terburu-buru. Kami akan terus meneroka semua opsyen dan melupuskan aset apabila masa dan pernilaian berada di tahap optimum,” katanya.

Aset bukan teras Sime Darby ketika ini merangkumi 12 peratus kepentingan dalam Eastern & Oriental, 3,561.23 hektar tanah di Lembah Wawasan Malaysia di Negeri Sembilan dan 30 peratus kepentingan dalam Tesco Malaysia.

“Apabila tanah di Lembah Wawasan Malaysia dibangunkan, kami pasti akan melupuskannya,” kata Jeffri.

Pemisahan kumpulan Sime Darby yang selesai 10 Novermber 2017 itu dengan tiga entiti penyenaraian berasingan membolehkan konglomerat terbesar di Malaysia itu memainkan peranan sebenarnya di samping membolehkan setiap cabang perniagaannya bersaing dengan rakan setaraf.

Sime Darby kini memberi fokus kepada sektor industri, permotoran dan penjagaan. Ia merupakan pengedar terbesar BMW dan Caterpillar di seluruh dunia. – Bernama