Home 14th IFSB Summit 2019 Pakej ransangan tak semestinya dari dana kerajaan – Amiruddin

Pakej ransangan tak semestinya dari dana kerajaan – Amiruddin

Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Amiruddin Hamzah berucap pada Festival Ekonomi Syariah Indonesia di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2019

JAKARTA – Pertimbangan untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi negara tidak semestinya memerlukan suntikan dana daripada kerajaan.

Sebaliknya, ia boleh dipacu oleh sektor swasta, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Kerajaan pula boleh menimbang untuk memberi insentif-insentif tertentu kepada sektor swasta yang terlibat dalam pakej rangsangan tersebut.

“Kerajaan masih memantau kedudukan ekonomi semasa dan perkara ini masih dibincangkan dengan teliti selepas menimbang unjuran Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa dan Organisasi bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) terhadap prospek ekonomi dunia yang semakin mencabar pada tahun depan,” katanya ketika ditemui di luar Festival Ekonomi Syariah Indonesia.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai beban hutang negara yang akan ditanggung jika kerajaan melaksanakan pakej rangsangan untuk merancakkan ekonomi negara.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mewujudkan pakej rangsangan sekiranya keadaan ekonomi semakin lembap pada tahun 2020.

Meskipun terlalu awal untuk mengulasnya, Amiruddin berkata, sektor pelancongan dan pembinaan akan mendapat keutamaan dalam pakej rangsangan berkenaan kerana kedua-duanya hanya memerlukan perbelanjaan sedikit tetapi mampu memberi pulangan besar.

“Kebetulan pula tahun depan Tahun Melawat Malaysia 2020, saya ingat ini adalah antara sektor yang kita boleh disuntik untuk promosi pelancongan domestik dan asing yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dengan baik.

“Selain itu industri pembinaan, kita tahu bahawa keperluan kepada perumahan. Kalau kita dapat melabur dalam infrastruktur, ia akan memberi impak yang baik kepada ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette