KUALA LUMPUR – Tonggak utama pertahanan Harimau Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak berkata, tidak ada yang mustahil untuk mengalahkan Thailand menjelang aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Aidil berkata, ini kerana dalam permainan bola sepak, tidak ada pasukan yang tidak boleh dikalahkan.
Jelas pemain Johor Darul Ta’zim itu, yang penting, dia dan rakan-rakan tidak akan memberi laluan mudah kepada Thailand yang hadir dengan reputasi hebat.
“Lawan tetap lawan dan kami tidak akan memberi laluan mudah kepada Thailand.
“Cuma bagaimana kami perlu bersatu hati untuk berdepan mereka malam esok.
“Dalam sukan bola sepak ini, tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan. Liverpool pun boleh kalah,” katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media menjelang perlawanan menentang Thailand esok di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe.
Di atas kertas, jurang perbezaan kemampuan antara dua pasukan amat ketara apabila Thailand kini berada di kedudukan ke-109 dunia.
Skuad bola sepak kebangsaan negara pula menduduki tangga ke-159 di dalam senarai yang dikeluarkan oleh FIFA.
Mengulas lanjut, Aidil mengakui penyerang veteran, Teerasil Dangda perlu diberi perhatian kerana masih dianggap berbahaya di bahagian serangan Thailand.
Dia turut mengakui kehebatan skuad kendalian Akira Nishino yang akan menurunkan skuad berbisa dengan membariskan seperti Chanathip Songkrasin yang mendapat gelaran Messi Thai serta Thitipan Puangcha iaitu kedua-duany beraksi dalam saingan Liga 1 Jepun.
“Banyak perbezaan perlawanan esok berbanding pertemuan pada Piala AFF Suzuki tahun lalu.
“Tidak dinafikan pemain yang hadir lebih bagus namun kami telah mengkaji di mana kekuatan dan kelemahan Thailand,” katanya.
Teerasil Dangda kembali dipanggil menyertai skuad Thailand itu sekali gua membuktikan dia masih lagi penyerang hebat skuad Gajah Putih itu selain memiliki beberapa pilihan untuk menurunkan penyerang muda lain seperti Suphanat Mueanta serta Supachai Jaided.
Dalam pada itu, Harimau Malaya amat menyedari kepentingan untuk mengutip mata penuh dalam perlawanan menentang Thailand, diikuti Indonesia lima hari kemudian.
Ini kerana Malaysia baru menang sekali dan tewas dua perlawanan sebelum ini. – MalaysiaGazette