KUALA LUMPUR – Reputasi hebat yang dimiliki bintang sensasi Thailand, Chanathip Songkrasin langsung tidak menggusarkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Chanathip, 25, yang turut dikenali sebagai ‘Messi Jay’ kerana kelincahannya kini mencipta nama bersama kelab Liga 1 Jepun (J1), Consadole Sapporo selepas dipinjamkan oleh Muangthong United sejak Julai 2017.
Kehebatan pemain bertubuh kecil yang memiliki ketinggi 158 sentimeter itu disamakan dengan bintang dunia, Lionel Messi kerana memiliki tendangan kedua-dua kaki yang berbahaya.
Namun bagi Cheng Hoe, permainan bola sepak adalah berpasukan dan bukannya bergantung dengan aksi luar biasa seorang individu.
“Memang diakui Chanathip seorang pemain yang kreatif dan berbahaya.
“Apatah pengalamannya beraksi di Liga J1 selama ini telah memberi keyakinan tinggi kepada dirinya.
“Namun kita tidak boleh memberi fokus kepada seorang pemain sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang menjelang pertemuan menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Turut hadir, pemain pertahanan skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak.
Selain Chanathip, skuad Gajah Putih dijangka menurunkan Thitipan Puangchan yang juga beraksi dalam saingan Liga J1.
Penyerang veteran Teerasil Dangda turut dipanggil menyertai skuad Thailand yang membuktikan dia masih lagi memiliki status penggempur hebat skuad Gajah Putih itu selain memiliki beberapa pilihan untuk menurunkan penyerang muda lain seperti Suphanat Mueanta serta Supachai Jaided.
Malaysia kini berada kedudukan keempat kumpulan G dengan tiga mata selepas tiga perlawanan.
Harimau Malaya wajib menang ke atas Thailand esok dan Indonesia lima hari kemudian, kedua-duanya di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mencerahkan peluang layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2023. – MalaysiaGazette