Home Seni Hidup Mahathir The Journey tak dapat restu keluarga – Marina

Mahathir The Journey tak dapat restu keluarga – Marina

Datuk Marina Mahathir.

KUALA LUMPUR – Filem biografi mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad berjudul Mahathir The Journey yang baru dilancarkan menerima kejutan apabila anak sulung perdana menteri itu, Datuk Marina berkata ia tidak mendapat restu daripada keluarga.

Menurut Marina, keluarganya tidak membenarkan sesiapa pun menceritakan kisah Mahathir kerana berpendapat ia akan memalukan mereka.

“Perkara di sini ialah: Keluarga saya lebih suka tiada sesiapa menghasilkan filem, filem bografi, muzikal, kartun atau apa saja mengenai kami kerana ia memalukan,” katanya di Twitter miliknya.

Marina menjawab pertanyaan netizen selepas dia memuatnaik hantaran di Twitter yang mengatakan Mahathir The Journey tidak mendapat restu dalam kalangan keluarganya.

Bagaimanapun jelas Marina, jika filem itu diteruskan, dia berkata, jangan buat mereka menontonnya.

Mahathir The Journey arahan Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan baru dilancarkan dalam satu sidang media di Petaling Jaya kelmarin.

Filem terbitan Reliance Media Group itu merangkumi 16 tahun kisah perjuangan Mahathir bermula daripada masa persaraannya selepas berkhidmat 22 tahun sebagai pemimpin nombor satu negara hingga kembali memimpin negara pada 2018.

Dalam filem itu, watak Marina dipegang oleh pelakon dan penyanyi Ning Baizura.

Watak utama Mahathir dipegang oleh Azhar Amir dan penyanyi Fauziah Latif sebagai Tun Siti Hasmah Mohamad.

Selain Marina, filem itu turut menampilkan 29 watak penting termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipegang oleh Afiew Hussain, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Dian P Ramlee), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Hilal Azman), Nurul Izzah Anwar (Lisdawati) dan Gobind Singh Deo (Muhammad Harminder Singh).

Filem terbabit yang menelan belanja RM6 juta akan memulakan penggambaran pada pertengahan Disember depan.

Hatta dalam ucapannya berkata, pihaknya melakukan kajian selama tujuh bulan untuk merealisasikan kisah perjuangan seorang figura yang hebat dan dikagumi di dunia itu.

“Filem ini mengambil inspirasi kisah benar malah babak bakal dipaparkan adalah kejadian yang berlaku selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003.

“Sebahagian babaknya pula kejadian sebenar yang tidak pernah diketahui masyarakat seperti dilantik semula sebagai perdana menteri.

“Skrip filem ini mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri. Malah, pegawai khas Tun, Sufi Yusof telah meneliti dialog dan babak ke babak untuk memastikan tiada kesilapan fakta,” katanya. – MalaysiaGazette