KUALA LUMPUR – Artis kontroversi Aliff Aziz yang ditahan polis di Singapura kerana didakwa mengganggu ketenteraman di tempat awam dalam keadaan mabuk mengucapkan terima kasih buat mereka yang memberikan sokongan kepada dirinya.
Menurut Aliff, tahun ini sangat mencabar buat dirinya apabila ditimpa pelbagai ujian.
“Terima kasih, ramai orang mesej secara peribadi dan ambil berat tentang saya, masih ada orang yang berhati baik.
“Tahun paling berat untuk saya dari segi spritual dan mental tapi Insya-Allah saya akan belajar untuk jadi lebih kuat selepas ini,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik oleh ibunya, S Hafiza Basharahil.
Mengulas komen negatif netizen berkenaan tindakannya menghubungi bapanya ketika ditangkap polis, Aliff berkata, ia perkara biasa seorang anak meminta bantuan bapanya.
Dalam pada itu, Aliff beranggapan setiap cakap-cakap buruk netizen adalah pahala untuk dirinya.
“Jika umur saya 40 atau 50 tahun sekalipun, sekiranya bapa saya masih hidup dia tetap menjadi bapa saya.
“Banyak perkara berlaku pada ketika itu yang saya tak boleh ingat, sebenarnya tak perlu jelaskan dengan lanjut kerana sudah banyak cerita sudah ditulis.
“Selagi saya masih bernafas, saya akan cuba perbaiki. Saya mengharapkan ada ganjaran di akhirat nanti walaupun bukan kerana kebaikan yang dibuat, tapi kerana ramai orang suka cakap buruk di belakang saya,” katanya. – MalaysiaGazette