KUALA LUMPUR – Pertahanan Selangor, Syahmi Safari tidak menyangka akhirnya dia tersenarai buat pertama kali dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK 2019) menerusi kategori Pemain Muda Harapan.
Jelas pemain berusia 21 tahun itu, sudah menjadi impian mana-mana pemain diiktiraf di pentas tertinggi seperti ABK dan dia bersyukur aksinya di atas padang bersama Selangor sepanjang musim ini mendapat perhatian ramai pihak.
Namun, Syahmi tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk dinobatkan pemenang sambil menyifatkan pencabarnya Akhyar Rashid dan Nik Akif Nik Syahiran mempunyai peluang yang lebih baik berbandingnya.
“Platform ABK ini akan sentiasa menjadi daya tarikan yang kuat kepada pemain-pemain untuk memperaga aksi terbaik setiap musim yang secara tidak langsung akan memberi kebaikan kepada pasukan.
“Saya sendiri rasa sangat bersyukur mendapat pencalonan terakhir dan ini pengalaman kali pertama untuk ABK, harap ini menjadi permulaan buat saya untuk terus lebih konsisten selepas ini.
“Nik Akif dan Akhyar adalah pemain yang bagus kerana sudah mengenali mereka sejak skuad bawah umur di peringkat kebangsaan, maka kelebihan kami agak sama rata,semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.
“ Jika ditanya siapa pilihan saya, saya rasa Akhyar jadi calon pilihan kerana walaupun mungkin minit permainnya kurang bersama JDT (Johor Darul Ta’zim), tetapi saya tahu dia sentiasa akan beri sesuatu jika diturunkan,” katanya.
Pada musim lalu, kategori ini dimenangi Safawi Rasid yang turut menyapu dua lagi gelaran iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP) dan Penyerang Terbaik.
Seorang lagi calon, Akhyar Rashid, tidak terkilan apabila dia gagal mempertahankan gelaran Penyerang Terbaik yang dimenanginya pada musim lalu sambil menyifatkan berada dalam senarai akhir Pemain Muda Harapan sudah cukup beri satu kepuasan.
“Memang saya letak impian untuk dicalonkan sekurang-kurangnya dalam satu kategori pada tahun ini dan gembira kerana berada dalam kategori Pemain Muda Harapan.
“Saya berterima kasih dengan pencalonan ini dan berasa teruja apabila dua sahabat saya, Nik Akif dan Syahmi turut dicalonkan, jadi kami masing-masing ada peluang untuk menang, ” katanya.
Manakala Nik Akif Nik Syahiran, terkejut namanya berada dalam senarai pencalonan akhir memandangkan dia sekadar bermain di Liga Premier dan mengucapkan terima kasih kerana masih ada pihak beri perhatian kepada prestasinya sepanjang musim ini bersama Kelantan.
“Berada dalam senarai pencalonan akhir ini pun saya sudah rasakan satu rezeki kerana kebanyakan pemain yang dicalonkan semuanya bermain di Liga Super.
“Bagi saya, Akhyar dan Syahmi adalah pemain muda terbaik yang pernah saya kenal dan peluang untuk saya menang dalam kategori ini memang sengit, jadi itu semua terpulang kepada rezeki. Kalau ada rezeki saya untuk menang, saya bersyukur sangat, ” katanya. – MalaysiaGazette