Home Nasional 1MDB dan IPIC setuju penyelesaian timbang tara

1MDB dan IPIC setuju penyelesaian timbang tara

1MDB
KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) telah mencapai persetujuan bagi penyelesaian membabitkan prosiding timbang tara di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Penyelesaian itu antara lainnya adalah 1MDB akan membuat pembayaran tertentu kepada IPIC dan akan bertanggungjawab terhadap semua pembayaran faedah akan datang dan pembayaran prinsipal bagi dua bon terbitan syarikat-syarikat Kumpulan 1MDB Group yang berakhir pada 2022, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Tanggungjawab ini akan dipenuhi oleh 1MDB, terutamanya menerusi usaha pengewangan unit dana pelaburan yang dimilikinya.

1MDB juga ingin mengesahkan bahawa usaha pengewangan pertama sebanyak kira-kira US$50 juta dalam tunai, telah pun diterima.

Penyelesaian timbang tara ini dan (usaha) pengewangan unit-unit dana pelaburan itu memaparkan resolusi satu cabaran besar dan menjadi bahagian penting dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang kini di peringkat akhir untuk disempurnakan, menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata kerajaan berasa gembira kerana IPIC dan 1MDB dapat menyelesaikan pertikaian itu secara baik.

Kita juga mendapati bahawa usaha pengewangan itu membabitkan semua unit-unit dana pelaburan dimiliki 1MDB.

Perkembangan penting ini menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya, katanya.

– BERNAMA