Home Krik Krik Dan pemenangnya adalah…

Dan pemenangnya adalah…

Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng bersama Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

KURANG 48 jam lagi, seramai 52,698 orang daripada 52,986 orang pengundi di Tanjung Piai akan menentukan siapakah yang berjaya menambat hati mereka untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen baru di kawasan tersebut.

Siapa sangka baru setahun lebih mereka mempunyai Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 14, tiba-tiba pengundi di sana sekali lagi terpaksa keluar untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.

PRK kali menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GERAKAN, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan dua calon Bebas.

Mereka ialah wakil GERAKAN, Wendy Subramaniam diikuti calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng; calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok; calon PH, Karmaine Sardini; Presiden BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghafar.

Tumpuan sudah pastinya pada Karmaine dan Jeck Seng yang dianggap pencabar terdekat untuk kerusi panas berkenaan.

Sedikit mengenai Karmaine, beliau yang berusia 66 tahun, merupakan anak tempatan pernah menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Teluk Kerang, Pontian ( 1973- 1977) sebelum meneruskan pelajaran dalam bidang seni bina seterusnya berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1980-2000).

Karmaine SardiniĀ 

Sebagai Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, beliau merupakan penggerak awal Bersatu di Tanjung Piai sebelum PRU14 bersama Allahyarham Datuk Dr Md Farid yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Karmaine pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Pontian menentang Datuk Seri Ahmad Maslan (BN) namun tewas dengan majoriti 833 undi.

Manakala Jeck Seng pula adalah graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet ketika BN menjadi kerajaan.

Anak jati kelahiran Pontian itu berumur 55 tahun dan memulakan karier politiknya dengan menyertai MCA pada tahun 1989 sebelum bertanding kerusi DUN Pekan Nanas dan menang dengan mengalahkan Tan Hang Meng (DAP) Pada PRU-11, Mac 2004.

Rekod cemerlang Jeck Seng diteruskan pada PRU-12 apabila menang sebagai Ahli Parlimen Tanjong Piai dengan mengalahkan Ahmad Ton (DAP) dengan majoriti 12,371 undi.

Beliau kemudiannya kekal menjadi Ahli Parlimen Tanjong Piai untuk penggal kedua setelah berjaya menewaskan Mahdzir Ibrahim (DAP) dengan majoriti 5,457 undi sebelum tewas kepada Md Farid Md Rafik (PH-Bersatu) pada PRU-14.

Di Tanjung Piai, demografi antara pengundi Melayu dan bukan Melayu agak seimbang dengan jumlah 52 peratus (Melayu) dan 46 peratus (Cina).

Sejak persempadanan semula Parlimen pada tahun 2003, Tanjung Piai dipisahkan daripada Parlimen Pontian.

Untuk rekod, ketika era Pakatan Rakyat (PR), kawasan ini telah tiga kali ditandingi DAP (di mana dua daripada tiga PRU itu DAP meletakkan orang Melayu sebagai calonnya) dan tewas kesemuanya sehinggalah kerusi itu dirampas oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi parti Bersatu dalam PRU-14.

Saya tiba di kawasan ‘panas’ itu petang semalam. Destinasi pertama saya ialah Telok Kerang, salah sebuah pusat daerah mengundi (PDM).

Waktu telah menunjukkan pukul 6.45 petang. Sudah hampir masuk waktu Maghrib. Kira-kira lima minit saya berada di sana, nampak kehadiran sebuah kereta MPV mewah yang masuk ke perkarangan tempat saya berdiri.

Ada beberapa buah kereta lain yang mengekorinya. Tiba-tiba tingkap kereta MPV tadi diturunkan.

“Assalamualaikum,” kata lelaki dari dalam kenderaan berkenaan. Rupa-rupanya ia adalah Karmaine.

Sebaik saja melihat kehadiran saya dan rakan-rakan dari MalaysiaGazette, Karmaine tersenyum dan mempelawa kami duduk bersamanya.

Raut wajahnya agak kepenatan. Maklumlah dalam usia 66 tahun, beliau perlu melalui proses demokrasi yang cukup memenatkan ini.

Pun begitu, beliau masih bersemangat untuk berbual apatah lagi bila menyentuh mengenai kempen terakhir menjelang pembuangan undi Sabtu ini.

Antara yang dibualkan dengan saya termasuklah usahanya untuk terus memenangi hati pengundi muda di Tanjung Piai ini.

“Bila cakap mengenai pengundi muda, satu perkara yang tak boleh kita pandang ringan adalah kawasan liputan internet di parlimen ini. Kita kena ingat, anak muda memerlukan liputan internet yang baik dan laju kerana dalam era sekarang, internet juga boleh mendatangkan sumber pendapatan terutama bagi golongan tersebut yang cukup mahir dan terdedah dengan perkembangan teknologi ini.

“Bukan saja golongan muda, yang berumur juga mendambakan liputan internet yang baik dan saya sangat gembira bila Menteri bertanggungjawab, Gobind Singh menyatakan komitmennnya untuk memperbaiki lagi kemudahan tersebut bagi penduduk Tanjung Piai,” katanya.

Satu perkara mengenai Karmaine, pertuturannya cukup teratur, baik dan lemah lembut – persis seorang bapa atau datuk yang bercakap kepada anak atau cucunya.

Kalau ditanya pada saya, apakah faktor utama yang memungkinkan beliau menambat hati pengundi di sini, saya tanpa ragu-ragu akan berkata – personalitinya!

Datuk Dr. Wee Jeck Seng

Siang tadi saya juga berkempatan bersama Jeck Seng. Ketika menghampiri waktu makan tengah hari, Jeck Seng memilih untuk menikmati jamuan tengah harinya bersama masyarakat warga emas yang majoritinya adalah orang Melayu.

Ketika beliau sampai, lebih 50 orang warga emas sudah bersedia menantinya.

Ketibaan Jeck Seng dengan kenderaan pacuan empat roda benar-benar mengujakan mereka. Rupa-rupanya sebelum ini Karmaine sudah pun datang ke tempat yang sama namun sambutan yang diberikan tak semeriah sepertimana yang diterima calon BN tersebut.

Kalau semalam ketika bersama Karmaine saya banyak berbual mengenai orang muda, hari ini dengan Jeck Seng beliau banyak menyentuh mengenai golongan tua khususnya yang mengundi dalam saluran satu.

Mungkin kerana lokasi tersebut adalah tempat penempatan warga emas, Jeck Seng memilih untuk bercakap mengenai golongan berkenaan.

“Kita boleh bercakap mengenai sumbangan golongan muda tetapi jangan sama sekali meminggirkan sumbangan warga tua. Saya anggap kesemua mereka, tak kisahlah apa bangsa atau anutan, adalah saudara kandung saya sendiri.

“Bila saya bercakap akan meneruskan usaha untuk menghantar golongan ini menunaikan umrah seperti mana yang saya buat sebelum, ramai yang marah tetapi mereka tak faham yang saya dari kecil bercampur dengan orang Melayu, dengan orang Islam, jadi saya tahu betapa terujanya golongan ini bila dapat menjejakkan kaki ke tanah suci, saya menumpang kegembiraan mereka.

“Saya tak kisah kalau perlu membelanjakan wang yang banyak untuk merealisasikan impian mereka, maklumlah kosnya bukan murah, namun tiada yang lebih mengujakan bila dapat melihat mereka pergi dan pulang dengan selamat,” katanya yang selalunya akan menghantar sendiri rombongan umrah di kawasan parlimennya hingga ke KLIA.

Satu perkara mengenai Jeck Seng, beliau terbiasa mengulang-ulang kalimah “Alhamdulillah” dan “InsyaAllah” menjadikan pengundi yang biasa mengikuti ceramahnya faham benar calon parlimen mereka itu. Pada orang luar mungkin janggal!

Apapun Sabtu ini akan terjawablah segala-galanya siapakah yang bakal diangkat menjadi Ahli Parlimen pada PRK P.165.

Kesemua calon termasuk Karmaine dan Jeck Seng bukan terlalu sempurna tetapi saya yakin jika salah seorang terpilih, mereka mampu menjadi seorang wakil rakyat yang mampu berkerja dan memperjuangkan nasib para pengundi di sini.

Itupun kalau mereka tak retoriklah. Krik..krik..krikk!

1 Komen

  1. Jika kita bicara soal melayu & islam.
    Sudah pasti calon Bersatu Karmaine jauh lebih baik dari calon MCA.
    Utk rekod mca.
    – 100% cina.
    – hina islam.
    – tolak ruu 355
    – tolak jawi.
    – bantah penghapusan sekolah jenis kebangsaan cina.

    Jadi apalagi yg mahu dibanggakan oleh orang melayu khas nya apabila calon mca ini diberikan tempat sebagai wakil masyarakat melayu.

    Belum lagi kes rasuah & salah guna kuasa yg hangat dibicarakan sekarang.

    Ianya umpama tak ubah kumpulan penyamun yg minta belas kasihan.

    Sendiri undi, sendiri sudah pasti akan tahu akibatnya.

    Selamat mengundi utk rakan2 melayu Tanjung Piai.

    Ingat jangan tembak kaki sendiri.

Comments are closed.