Home 14th IFSB Summit 2019 Indonesia ambil 4 tahun lagi tembusi teknologi kewangan

Indonesia ambil 4 tahun lagi tembusi teknologi kewangan

Pengasas bersama Investree, Adrian Gunadi bercakap pada Sidang Kemuncak Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) 2019 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2019

JAKARTA – Indonesia dijangka memerlukan empat tahun lagi untuk menyaksikan perubahan ketara penggunaan teknologi kewangan (fintech) dalam sistem kewangan Islam.

Unjuran itu akan dapat dicapai sekiranya Indonesia mampu meningkatkan penembusan penggunaan sistem kewangan dalam kalangan rakyatnya.

Pengasas bersama Investree, Adrian Gunadi berkata, jumlah akses pengguna kepada sistem kewangan di Indonesia masih menjadi kekangan kerana 60% daripada 264 juta populasi negara ini tidak pernah menggunakan institusi kewangan.

Perkembangan ini menyaksikan jurang kredit adalah AS$100 bilion.

Menurutnya, walaupun penggunaan teknologi semakin meningkat iaitu 133% tetapi penembusan Internet hanya 60%.

Ini menunjukkan setiap seorang pemilik telefon pintar menggunakan dua alat komunikasi itu dan 50% daripada adalah golongan muda yang berusia 30-an.

Pemilik syarikat peneraju pinjaman Peer-to-Peer di Indonesia di Indonesia itu menambah, walaupun begitu senarionya tetapi badan pengawas selia kewangan Indonesia menerima baik revolusi ini dalam memaju dan merancakkan sistem kewangan.

Ini dapat dilihat perbezaan jumlah pembiayaan sebanyak AS$20 juta pada tahun 2016 tetapi dengan adanya kemudahan teknologi kewangan angka itu melonjak kepada AS$5 bilion – yang dipacu oleh sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerjasama baik antara institusi kewangan dengan syarikat teknologi kewangan bakal menambah baik ekosistemnya terutama di bandar-banda peringkat satu dan dua. – MalaysiaGazette