KUALA LUMPUR – Adira dilaporkan mengubah keputusannya untuk permohonan cerai dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.
Adnan mengesahkannya menerusi InstaStory tangkapan layar perbualan Whatsapp Adira bersama seorang wanita dikenali sebagai Fira.
Dalam perbualan itu, Adira dikatakan memberitahu Fira, dia berhasrat menarik balik permohonan perceraian demi tiga anaknya.
Adnan dan Adira bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 2; Assan, 1 tahun dua bulan dan Anggun, tiga bulan.
Untuk rekod, penyanyi berusia 28 tahun itu memfailkan perceraian terhadap Adnan, 49, pada 1 April lalu, tetapi permohonan itu dibantah ahli perniagaan terbabit.
Pada 9 Oktober lalu, pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat bagi perbicaraan permohonan cerai.
Hakim Mohd Faizal Habib bagaimanapun, menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes perceraian itu.-MalaysiaGazette