Home Nasional Calon diingatkan elak pakai baju logo, slogan parti

Calon diingatkan elak pakai baju logo, slogan parti

Para petugas SPR membawa keluar peralatan mengundi untuk dibawa ke pusat-pusat mengundi sempena persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Sabtu esok, calon dan ahli parti diingatkan supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, calon, penyokong dan ahli tidak boleh memakai pakaian yang mempunyai logo dan slogan parti.

Mereka juga dilarang memakai pakaian yang mempunyai gambar dan nama calon.

“Mereka dilarang sama sekali terlibat dalam sebarang tindakan yang saya maksudkan dan ditetapkan peraturan SPR di dalam kawasan dalam radius 50 meter kawasan mengundi.

“Saya menyeru sangat agar perkara itu tidak berlaku lagi kerana sebelum ini (PRK lalu) terdapat seorang dua yang berbuat demikian malah calon juga pernah buat begitu, tak tahulah mereka lupa atau tak faham ke atau disengajakan.

“Tetapi kami SPR menasihati mereka agar mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kelancaran proses mengundi esok tanpa sebarang kejadian luar jangkaan,” katanya dalam sidang media di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pagi ini.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi hari mengundi esok, kata beliau, pengagihan peralatan PRK kepada 125 Ketua Tempat Mengundi diselaraskan pegawai SPR dan berjalan lancar selesai dilakukan pada pagi ini.

“Kami sudah bersiap sedia untuk melaksanakan PRK Tanjung Piai esok dan menyeru semua pengundi keluar mengundi awal kerana cuaca tidak menentu dan sentiasa mengikut arahan pegawai SPR dan polis demi keselamatan.

“Kepada penyokong, calon dan parti politik saya harap mulai 12 malam ini hentikan segala aktiviti berkempen dan tiada barung panas dan rai undi oleh mana mana parti politik selain tiada sebarang aktiviti raih undi semasa hari mengundi kerana satu kesalahan serius.

“Malah saya juga harap penyokong tidak berkumpul di mana mana kawsan berhampiran pusat mengundi kerana ini boleh menimbulkan ketidaktentaraman awam dan boleh jadi aktiviti provokasi maka elakkan perbuatan berkumpul, bersorak, bawa pembesar suara dan sebagainya esok supaya menjalankan hak mengundi dengan aman dan matang.

Ditanya langkah drastik menangani masalah dan insiden barung meraih undi dan penyokong mencetuskan masalah yang pernah berlaku di beberapa PRK lalu, katanya, empat pasukan penguatkuasa SPR beroperasi sepanjang masa sejak dua minggu lalu.

“Esok pun mereka akan jalankan tugas seperti biasa, dan pegawai SPR akan cuba pantau perkara-perkara ini dan jika kita bertembung aktiviti-aktiviti seperti itu akan menegur dan suruh mereka berhenti serta merta tapi kita seperti biasa akan beroperasi secara lembut.

“Untuk proses undi esok, seramai 1,019 anggota dan kakitangan SPR, 1,100 pegawai dan anggota polis akan terlibat penguatkuasaan dan mensasarkan keputusan paling awal 10 malam esok sepertimana PRK lalu.

“Manakala keputusan tak rasmi akan disiarkan seperti biasa sejurus selepas keputusan diperolehi dari setiap kawasan PDM dan saya dan juga pegawai kami optimis sasaran 70 peratus keluar mengundi akan dicapai kali ini,” katanya.

Seramai 52,471 orang pengundi bakal mengundi esok. – Malaysiagazette