Home Politik Permit Kempen: Kerajaan PH tunduk kepada desakan pembangkang – Ismail Sabri

Permit Kempen: Kerajaan PH tunduk kepada desakan pembangkang – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tunduk kepada blok pembangkang apabila Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kempen rumah ke rumah tidak memerlukan permit.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau bersama blok pembangkang Parlimen yang terdiri dari Barisan Nasional (BN) dan Pas serta disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuat kenyataan media menentang dan menolak peraturan tersebut yang jelas bertentangan dengan Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Namun Pengerusi SPR masih berdolak dalih dengan menolak tanggung jawab tersebut kepada PDRM sedangkan kita semua maklum bahawa sewaktu pilihan raya, peraturan perjalanan pilihan raya ditentukan oleh SPR berdasarkan 2 Akta tadi dan tanggungjawab PDRM menguatkuasakan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh SPR,” katanya dalam kenyataan.

Malah kata Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu, blok pembangkang turut mengemukan usul di Dewan Rakyat namun ditolak oleh Speaker di dalam kamar.

Bagaimanapun, Peguam Negara akhirnya menyekolahkan Pengerusi SPR dan Ketua Polis Johor bahawa tindakan mereka adalah salah dan menyalahi Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menurut Ismail, tindakan suruhanjaya itu benar-benar menjejaskan kredibiliti SPR sebagai badan bebas di dalam mengendalikan pilihanraya.

“Tindakan SPR benar-benar telah mengganggu perjalanan pilihan raya kerana peraturan baru tersebut telah mengelirukan dan menyukarkan petugas-petugas pilihan raya malah ramai yang telah memberhentikan tugas kerana takut dengan arahan peraturan baru tersebut.

“Nasib baik lah blok pembangkang cepat bertindak,” ujarnya.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, rakyat masih memerlukan pembangkang yang kuat di Parlimen supaya kerajaan tidak boleh membuat keputusan sesuka hati yang menyusahkan rakyat.

“Oleh itu pengundi Tanjung Piai perlu memberikan isyarat yang jelas kepada kerajaan PH dengan memastikan kemenangan calon BN, Dr. Wee Jeck Seng,” katanya. – MalaysiaGazette

Akta mana SPR tetapkan kempen rumah ke rumah perlu permit – Ismail Sabri