Home Politik Saya berani pertahankan Guan Eng – Syed Saddiq

Saya berani pertahankan Guan Eng – Syed Saddiq

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Ceramah Malam Penentuan Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas tindakan Datuk Seri Najib Razak yang mempersoalkan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu juga terkejut dan marah apabila bekas perdana menteri itu menggunakan kedudukan Guan Eng dengan meniup api perkauman dan mempersoalkan maruah Melayu kerana seorang Cina dilantik sebagai menteri.

“Saya marah semalam sambil tengok bola sepak kemenangan Harimau Malaya menundukkan Thailand apabila Najib dalam ucapan ceramah semalam tanya hadirin mana perginya maruah Melayu sebab seorang menteri Cina dilantik jaga kewangan dalam kerajaan,” katanya.

Syed Saddiq juga mengingatkan kepada Najib yang juga bekas Presiden UMNO bahawa mungkin Ahli Parlimen Pekan itu lupa ia bukan kali pertama seorang pemimpin Cina dilantik sebagai Menteri Kewangan.

“Saya berani mempertahankan DAP dan Guan Eng sebab saya tahu pernah bekerja dengan pemimpin DAP itu. Zaman bapa dia Tun Abdul Razak pernah melantik seorang Menteri Kewangan dari kaum Cina tidak ada masalah langsung.

“Saya nak tanya anda semua sila jawab siapa yang curi wang 1MDB, siapa yang curi wang Tabung Haji, UMNO atau Guan Eng?Nak tanya anda?

“PH Tak kisah kamu Cina ke Melayu atau India tapi kalau kamu tidak berasuah dan berintegriti maka kami akan sokong,”katanya dalam Ceramah Kemuncak yang dihadiri lebih 500 orang setempat di Pusat Perdagangan Pontian malam ini.

Tambah Ahli Parlimen Muar itu lagi, beliau sentiasa berjumpa dan berbincang dengan Guan Eng bagaimana untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk pemuda negara ini.

Menurutnya, ia membawa hasil sehingga membolehkan kerajaan memperuntukkan lebih RM6 bilion dalam Belanjawan 2020 untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi pemuda negara ini.

“Kalau dibandingkan kerajaan dahulu senang dapat projek tapi di bawah kerajaan baharu ini khususnya sejak Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

“Di bawah beliau dan juga PH jangan harap dapatkan projek senang, perlu lalui proses tender terbuka supaya mereka yang berkelayakan dan bersih sahaja diberikan demi kesejahteraan rakyat.

“Guan Eng tidak bertoleransi dalam hal projek projek supaya mahukan integriti dan manfaat kepada rakyat dn inilah menteri Kewangan berintegriti yang kita mahukan,”katanya.

Justeru beliau turut mengakui kadang kadang wujud perbezaan pendapat dalam PH tapi semua duduk bersama belajar berkompromi dan mencari penyelesaian demi kesejahteraan rakyat,”tegasnya lagi.-MalaysiaGazette