MASSACHUSETTS – Dewan Universiti Harvard kecoh seketika apabila penuntut Sekolah Undang-Undang bertindak keluar beramai-ramai sebelum Duta Israel memulakan sesi syarahannya.
Portal Arab News melaporkan, kejadian itu berlaku baru-baru ini semasa Dani Dayan dijemput untuk memberikan ucapan syarahan berkaitan ‘Strategi Sah Penempatan Israel’ di universiti berkenaan.
Berpuluh-puluh pelajar segera bangkit keluar sambil memegang sepanduk yang tertulis ‘penempatan adalah jenayah perang’, sekali gus dewan menjadi kosong serta-merta.
Para penuntut bertindak keluar secara senyap tanpa membuat sebarang bising atau tindakan-tindakan drastik yang lain.
Akibat daripada tindakan tersebut, Dayan terpaksa berucap secara ‘berseorangan’ kerana dewan tersebut telah menjadi kosong.
Tindakan ini juga telah membangkitkan kemarahan Dayan yang kemudian menulis dalam laman sosial Twitternya sambil menggelar para pelajar itu sebagai ‘pengecut’.
Sementara itu, persatuan pelajar Jawatankuasa Solidariti Palestin Kolej Harvard (HCPSC) juga mengutuk program syarahan seperti ini yang dianjurkan universiti berkenaan.
“Kami kecewa bagaimana Sekolah Undang-Undang Harvard boleh benarkan sesi syarahan seperti ini. Propaganda seperti ini jelas tidak jujur, seolah-olah bersuhabat,” katanya.
Dayan yang juga Konsul Besar Israel di New York, menyokong pembinaan dan penyelenggaraan penempatan Israel di Tebing Barat. – MalaysiaGazette