Home Dunia Rakyat Sri Lanka teruja pilih presiden baharu hari ini

Rakyat Sri Lanka teruja pilih presiden baharu hari ini

COLOMBO – Walaupun masih bergelut dengan pelbagai masalah terutamanya selepas serangan ke atas hotel dan gereja pada sambutan Easter awal April lalu, namun ianya tidak menghalang penduduk Sri Lanka untuk mengundi memilih presiden negara ini.

Malah hampir semua pusat mengundi seluruh negara dibanjiri penduduk yang teruja untuk memilih presiden baharu bagi kestabilan berkekalan di negara ini.

Sebelum ini, Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan semula walaupun sebelum ini pernah mendedahkan dirinya akan bertanding.

Sirisena mencetuskan krisis perlembagaan tahun lalu apabila memecat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe dan menggantikannya dengan bekas presiden, Rajapakse.

Mahkamah Agung kemudian memutuskan menolak tindakan Sirisena dan mengembalikan semula jawatan Wickremesinghe.

Agensi melaporkan, minoriti Sri Lanka dan umat Islam dilihat sebagai pengundi penting untuk memutuskan persaingan dekat antara dua pemimpin bagi pemilihan kali ini iaitu Menteri Perumahan, Sajith Premadasa dan bekas Ketua Setiausaha Pertahanan merangkap pembangkang, Gotabaya Rajapaksa.

Antara yang menarik dijanjikan oleh kedua-dua pemimpin ini akan menjadi faktor kepada kemenangan mereka dalam pemilihan ini.

Rajapaksa telah membuat aku janji seandainya menang akan secara drastik memulihkan keselamatan negara, mengambil kesempatan di atas ketakutan penduduk Buddha negara itu susulan serangan didakwa dilancarkan Daesh yang meragut lebih 250 nyawa.

Sementara Premadasa pula menjanjikan rumah dan seragam sekolah serta tuala wanita percuma, menyentuh topik yang jarang dibincangkan secara terbuka di negara itu yang berjaya menarik wanita menghadiri kempennya.

Premadasa dari gabungan pemerintah juga merupakan anak kepada bekas Presiden Ranasinghe Premadasa yang dibunuh pada tahun 1993 oleh pemberontak Tamil Tiger yang akhirnya kalah dalam perang saudara.

Kira-kira 16 juta penduduk layak mengundi, dengan proses itu membolehkan pengundi memilih sehingga tiga calon mengikut turutan.

Undi akan dikira sejurus selepas pusat pengundian ditutup tetapi keputusan dijangka diketahui esok.

Penduduk Islam yang merangkumi 10 peratus daripada 22 juta rakyat negara itu berkata, mereka dimusuhi sejak serangan April lalu. –MalaysiaGazette