KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pasti menguatkan lagi blok pembangkang bukan sahaja dari segi bilangan kerusinya juga keberkesanan suara pembangkang yang konstruktif dengan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kejayaan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi Tanjung Piai itu dalam PRK bersejarah dan amat bermakna.
“Pas mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional dan calonnya Dr. Wee Jeck Seng serta MCA kerana berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam PRK yang bersejarah dan amat bermakna ini.
“Selamat menjalankan tugas Dr. Wee Jeck Seng,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Tanjung Piai yang telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warga negara dengan sebaiknya.
Takiyuddin turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para petugas dari semua kalangan penyokong Blok Pembangkang, khususnya Petugas Pilihan Raya Pas atas kesetiaan mendukung keputusan kepimpinan Parti, sekaligus Muafakat Nasional sebagai agenda bersama dengan parti-parti lain demi kebaikan negara.
Menurutnya, Pas yakin formula yang digunakan oleh gandingan UMNO/BN-PAS/GS bagi menghadapi PRK Tanjung Piai ini amat sesuai dijadikan antara asas kerjasama politik bersama dalam PRU-15 nanti.
Jeck Seng memperoleh 25,466 daripada 27 saluran mengatasi lima pencabarnya dengan majoriti 15, 086 undi.
Pesaing terdekatnya Karmaine Sardini dari PH mendapat 10,380 undi.
Manakala, Wendy Subramaniam dari Gerakan mendapat 1,707 undi diikuti Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dengan 850 undi.
Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Loc mendapat 380 undi serta Faridah Aryani Abdul Ghafar mewakili Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM) dengan 32 undi. – MalaysiaGazette