Home Krik Krik Bukan silap Dr. Farid, bukan lemah Wak Karmaine…

Bukan silap Dr. Farid, bukan lemah Wak Karmaine…

Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini melambaikan tangan kearah jurugambar selepas menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Kampung Rambah, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019

SEJARAH tercipta di Tanjung Piai malam tadi bila calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berjaya menumpaskan calon terdekatnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Karmaine Sardini dengan perbezaan undi yang ‘luar biasa’ berbanding pilihan raya umum lalu.

Jeck Seng yang pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal antara 2008 hingga 2018 memperoleh sebanyak 25,466 undi, jauh meninggalkan Karmaine yang cuma memperoleh sebanyak 10,380 undi.

Calon-calon lain tak payah ceritalah…istilah paling tepat hanya dapat ‘makan asap’ sajalah.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam hanya memperoleh 1,707 undi diikuti Calon Berjasa Dr Badrulhisham Abdul Aziz 850 undi manakala dua calon bebas,dua calon bebas Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing masing memperolehi 380 dan 32 undi.

Majoriti 15,086 undi yang diperolehi BN kali ini adalah dua kali ganda berbanding sasaran asal 7,000 undi majoriti yang ditetapkan MCA.

Persoalannya sekarang, adakah rekod perkhidmatan Ahli Parlimen sebelum ini, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik terlalu buruk sehingga membuatkan masyarakat Tanjung Piai bagaikan menolak mentah-mentah calon penggantinya?

Atau adakah Karmaine, seorang imam yang mempunyai kelulusan dan latarbelakang dalam bidang senibina itu langsung tidak mempunyai karisma untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen kawasan paling hujung benua Asia tersebut?

Jawapannya sudah tentu tidak.

Sedikit mengenai Dr. Md Farid, walaupun masih muda, beliau bukan calang-calang ahli politik.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang perubatan tamat pengajian di University of Belfast, United Kingdom dengan kelulusan Ijazah Muda Perubatan pada tahun 2001.

Pada 2008, beliau lulus Ijazah Kepakaran Anesthesia dari College of Anaesthesia, Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) dan terus berkhidmat sebagai pakar anesthesia di United Kingdom sebelum kembali ke Malaysia pada 2014.

Dr Md Farid memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai pada PRU ke-14 selepas menewaskan penyandangnya Jeck Seng (MCA) dengan memperolehi 21,255 undi.

Walaupun tak sampai dua tahun menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai, namanya cukup harum di kalangan penduduk tempatan terutama di kalangan anak muda.

Rata-rata warga Tanjung Piai yang ditemui berkata mereka masih terasa dengan pemergian mengejut wakil rakyat tersebut akibat serangan jantung baru-baru ini.

Menurut mereka, walaupun masih baru dalam dunia politik dan masih ‘setahun jagung’ menjadi wakil rakyat, Dr. Mohd Farid telah membawa pelbagai kemajuan di kawasan tersebut dan cukup mesra dengan anak-anak muda di situ.

Kena ingat, sebelum ini, parlimen itu menerima peruntukan RM14.7 juta melibatkan 17 projek pembangunan dan ia adalah hasil usaha Dr Md Farid!

Malah Perdana Menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai kehilangan besar untuk negara.

“Saya tidak ada apa nak cakap, dia masih muda. Ya (satu kehilangan besar untuk negara), takziah buat keluarga,” katanya ringkas dalam nada sebak kepada media selepas menunaikan solat jenazah allahyarham dan sembahyang asar di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Kampung Serkat baru-baru ini.

Baik bagaimana pula dengan Karmaine?

Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini melambaikan tangan kearah jurugambar selepas selesai menghadiri Program Semurni Akhlak Rasulullah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Balai Raya Kampung Teluk Kerang, Johor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2019

Terus terang, walaupun sudah berusia 66 tahun, bekas arkitek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mempunyai ‘cukup ramuan’ untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen di situ.

Orangnya cukup baik budi pekerti, lemah lembut, sopan tutur katanya dan yang paling menarik, walaupun datang dari latar belakang senibina, Karmaine mempunyai pengetahuan agama yang tinggi sehingga dilantik menjadi imam.

Beliau juga mempunyai sejarah penglibatan politik yang panjang dan masak dengan sepak terajang dunia tersebut.

Sebelum menjadi Ketua Bahagian Bersatu, Karmaine pernah menjadi Bendahari UMNO Tanjung Piai sebelum meninggalkan parti itu.

Pada pilihan raya umum yang lepas, beliau telah bertanding di kerusi Parlimen Pontian dan hampir menewaskan bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan dari Barisan Nasional.

Untuk rekod, Ahmad menang tipis dengan memperoleh 21,232 undi manakala Karmaine meraih 20,299 undi.

Jadi setelah melihat karisma Dr. Md Farid dan kelebihan yang ada pada Karmaine, mahu tak mahu PH kena mengakui faktor utama mereka tewas dalam PRK Tanjung Piai tak lain dan tak bukan, ia disebabkan kelemahan mereka sendiri hingga menyaksikan rakyat mula ‘memberontak’ dengan cara meluahkannya dalam bentuk kertas undi.

Perkara yang sama juga berlaku dalam PRK Semenyih, Rantau dan Cameron Highland.

Kaji selidik yang dibuat badan penyelidikan Merdeka Center awal-awal lagi menunjukkan populariti PH kini telah merudum kepada 35 peratus.

Berdasarkan kaji selidik itu, ia menunjukkan sentimen penolakan rakyat kepada PH. Mereka turut mendedahkan populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India jatuh kepada 41 peratus, manakala 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong PH sehingga Ogos lalu.

Begitu juga laporan panel penyelidik dari Ilham Centre dalam kajian mereka sebelum ini yang mendakwa BN mampu memenangi kerusi Tanjung Piai sekaligus menafikan status quo kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti yang selesa.

Penyelidik mereka mendakwa telah mengesan berlaku peralihan undi Cina ke BN disebabkan beberapa faktor

Contohnya kegagalan prestasi kerajaan menunaikan manifesto (59.1 peratus), prestasi Kerajaan Persekutuan yang kurang memuaskan (59 peratus), prestasi kerajaan negeri yang kurang memuaskan (53 peratus) dan kos sara hidup semakin tinggi berbanding zaman BN (60 peratus).

Kajian Ilham Centre yang dijalankan secara ‘tatap muka ini’ telah diadakan pada 9 sehingga 11 November 2019 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Kajian lapangan ini melibatkan 394 responden yang merupakan pengundi berdaftar P165 Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Kita percaya selepas ini macam biasa PH akan mengadakan ‘post mortem’ atau bedah siasat tentang kekalahan mereka dan antara tumpuan sudah semestinya mengenai sejauh mana keberkesanan jentera pilihan raya mereka termasuk tentang calon itu sendiri.

Namun percayalah, ia akan jadi sia-sia kerana bukan rahsia lagi yang faktor besar kekalahan teruk ini adalah manifestasi kepada kekecewaan rakyat seperti mana kajian oleh Merdeka Center dan Ilham Centre.

Kerajaan PH perlu segera bertindak segera bagi memperbaiki keadaan dan tidak boleh berterusan berada dalam sindrom penafian.

BN sebelum ini telah pun menerima hukuman dari rakyat dan tak mustahil PH akan menerima nasib yang sama.

Kenyataan ‘kami menerima keputusan rakyat’ tidak bermakna jika tiada usaha susulan untuk memperbaiki keadaan.

“Kalau terus bermenteri tiga suku, bersedialah berkerajaan tempang!”

Itu kata-kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mengenai kekalahan mereka malam tadi.

Kalau dah itu kata-kata ‘orang mereka’ sendiri, nak kata apa lagi?

1 Komen

  1. Tahniah. Bertambah satu suara utk memperjuangkan Melayu dan Islam di parlimen.
    Bakal kekal kehilangan kerusi melayu dikawasan majoriti.
    Tahniah muafakat nasional.

Comments are closed.