Home Seni Hidup Lans Koperal PDRM dan ATM bertemu jodoh

Lans Koperal PDRM dan ATM bertemu jodoh

Anggota Polis DiRaja Malaysia, Lans Koperal Norashikin Abdullah (kanan) bersama pasangannya yang merupakan Anggota Tentera Darat Malaysia, Lans Koperal Mohamad Zaki Firdaus Nadirin (kiri) ketika diraikan pada Majlis Walimatul Urus PDRM di Dewan Pengaman, PULAPOL Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Suami tentera, isteri pula anggota polis.

Itulah pasangan paling unik antara sembilan pasangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersanding serentak di sini hari ini.

Kakitangan Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Lans Koperal Norashikin Abdullah tidak menyangka hubungannya dengan rakan sekampungnya yang juga anggota Tentera Malaysia (ATM) akhirnya sampai ke jinjang pelamin.

Menceritakan tentang pertemuan semula dengan suami, Lans Koperal Mohammad Zaki Firdaus Nadrin menerusi Facebook.

Pada mulanya, mereka berbual dengan mengimbas kenangan ketika sama-sama membesar di kampung halaman mereka di Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Setelah menjalin cinta sejak lapan bulan lalu, kedua-dua mereka membuat keputusan untuk bersatu dan dinikahkan bersama-sama rakan PDRM yang lain pada 11 November di Masjlid Salehin, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

“Kami sudah kenal sejak kecil, satu kampung, main parit sama-sama waktu itu kampung di Batu Pahat,” katanya ketika ditemui di majlis Walimatul Urus sembilan anggota PDRM di Dewan Pengaman PULAPOL hari ini.

Majlis meraikan anggota polis yang diadakan dengan kerjasama Bank Muamalat itu disifatkan Norashikin sangat memberi makna kepada pasangan yang kurang berkemampuan.

Justeru wanita berusia 26 tahun itu berharap ia akan dapat diadakan setiap tahun.

“Kami ada buat permohonan dan tidak sangka dapat tersenarai antara diraikan, ia dapat jimatkan kos kami juga nak mulakan perkahwinan,” tambahnya.

Suaminya, Mohammad Zaki pula sangat gembira dan terharu kerana bukan hanya diraikan anggora PDRM malah kedatangan keluarga terdekat yang memeriahkan majlis hari ini juga membuatnya terharu.

“Saya antara pasangan lain, satu-satunya ATM hari ini, saya bangga, terharu pun ada, bersyukur majlis kami dapat peruntukan daripada Bank Muamalat,” ujarnya. – MalaysiaGazette