KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa yang tampil buat kali pertama selepas berdepan Jawatankuasa Audit Dalaman menjelaskan tiada sebarang tajaan dibuat Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada pasukan bola sepak Kelantan.
Sebaliknya, menurut Ketua Penerangan UMNO itu, ia hanya satu perjanjian komersial untuk tujuan pengiklanan.
Pengerusi MARA yang digantung khidmatnya sejak 31 Januari lalu itu memberitahu jawatankuasa terlibat mengenai keputusan membabitkan perjanjian komersial dengan pasukan Kelantan itu tidak ada kena mengena atau wujud campur tangan daripada pihaknya.
“Ini adalah perjanjian komersial, bukan diarahkan oleh Pengerusi MARA. Saya tak terlibat dalam memutuskan, saya tak terlibat dalam perundingan, tak terlibat dalam mengarah jauh sekali dakwaan mengatakan saya menggunakan dana pendidikan untuk taja pasukan Kelantan.
“Itu adalah satu fitnah,” katanya semasa sidang media selepas memberi keterangan kepada jawatankuasa yang berlangsung selama hampir sejam hari ini.
Annuar pagi tadi hadir bagi memberi keterangan membabitkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dengan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).
Beliau yang dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi MARA dan PMB sejak Januari lepas berkata, keputusan pembelian pakej komersial sebanyak RM500,000 oleh UniKL dan RM200,000 oleh PMB dibuat di peringkat pentadbiran tanpa merujuknya.
Sesi memberi keterangan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman MARA, Prof. Datuk Dr. Abu Azam Md. Yassin.
Jelas Annuar lagi, jumlah PMB bayar kepada pasukan bola sepak Kelantan untuk meletak logonya diberikan pada kadar bawah harga sebenar apabila dikenakan hanya RM200,000 walhal jika mengikut penilai profesional ia mencecah lebih RM1 juta.
“Anak syarikat MARA dapat tawaran terbaik dan The Red Warrior memberi favour kepada MARA,” ujarnya sambil mengalu-alukan siasatan dalaman yang dibuat oleh pihak MARA dan berharap ia berjalan dengan telus dan tidak berniat jahat.
“Saya takkan berkompromi dengan isu integriti. Saya alu-alukan MARA buat semakan dalaman, cuma saya minta jangan terpilih dan mala fide (berniat jahat),” katanya. – MalaysiaGazette