KUALA LUMPUR – Penyampai radio, Fara Fauzana membuat pendedahan dia tidak menunaikan solat Subuh sepanjang lima tahun pertama bertugas.
Kata Fara, 40, selama ini ramai yang memujinya kerana beruntungnya kerja di awal pagi dan pasti solat subuh tidak pernah tinggal.
Menerusi satu perkongsian dalam satu kuliah agama, Fara berkata dia terfikir bagaimana untuknya meninggalkan studio untuk solat ketika itu kerana waktu kerja bermula jam 6 pagi dan ketika itu sudah masuk waktu Subuh.
“Saya bekerja di radio selama 10 tahun di waktu pagi. Orang boleh kata untungnya kerja pagi ni sebab solat Subuh tak pernah tinggal. Saya terus terang awal 5 tahun pertama, saya tak malu nak mengaku saya tak pernah solat Subuh.
“Kenapa, kerana 6 pagi dah bermula kerja dan 6 pagi dah mula Subuh. Saya tak tahu macam mana nak tinggalkan studio, macam mana nak solat, solat dekat mana. Pelbagai alasan yang saya rasa menyukarkan, langsung saya tak buat,” katanya dalam rakaman video itu.
Tambah Fara, kesedaran untuk melakukan suruhan wajib itu datang sedikit demi sedikit apabila dia melihat ramai rakan-rakannya boleh menunaikan solat Subuh dengan mudah.
Dalam pada itu, Fara mengakui pada awalnya agak sukar untuk menunaikan solat ditambah dengan kekangan waktu namun tanggungjawab untuk menjadi Muslim yang baik menjadikan solat itu mudah.
Fara membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari Hot FM pada 2016 untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dengan menyertai kumpulan usrah dan aktiviti kebajikan serta kemanusian.
Namun sejak Ogos lalu, dia kembali ke udara di Suria FM setiap pagi Isnin hingga Jumaat. – MalaysiaGazette