Home Nasional Kekecewaan rakyat terhadap kerajaan punca PH kalah di Tanjung Piai

Kekecewaan rakyat terhadap kerajaan punca PH kalah di Tanjung Piai

Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto IQBAL BASRI, 17 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengakui bahawa undi masyarakat Cina di Tanjung Piai terhadap Pakatan Harapan (PH) merosot.

Justeru itu katanya, PH kini perlu fokus kepada penolakan masyarakat itu yang membawa kepada kekalahan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Karmaine Sardini pada Sabtu lalu.

“Ada perubahan undi Cina dan Melayu juga. Saya tidak percaya ada isu perkauman dan saya rasa kita perlu faham kekecewaan rakyat pelbagai kaum.

“Mesejnya jelas kita untuk ambil perhatian,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai penurunan drastik pengundi Cina di Tanjung Piai.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH perlu segera belajar dari kekalahan di beberapa PRK sebelum ini khususnya di Tanjung Piai.

“Kalau kita tidak belajar dan tidak tahu lagi maknanya, kita tidak layak lagi memerintah. Kita sudah dapat maklumat dan sepatutnya kita menggunakan masa untuk mengambil tindakan yang bijaksana untuk memulihkan keyakinan.

Anwar turut diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana mendesak PH untuk membubarkan Parlimen susulan kekalahan teruk gabungan itu pada PRK, kali ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjawab, gabungan itu menerima kekalahan mengejut itu dan menggesa agar tindakan lanjut diambil kerajaan.

“Perlu ada beberapa tindakan yang lebih berkesan untuk memulihkan keyakinan rakyat tetapi satu kekalahan, satu, dua kerusi tidak akan menyebabkan kerajaan harus undur.

“Kerajaan ada mandat untuk terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya lagi.

PH kalah teruk di PRK Tanjung Piai apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi semula kerusi itu dengan majoriti 15,086 undi berbanding Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi. – MalaysiaGazette