KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama masih menunggu pengesahan daripada Kabinet sebelum memfailkan saman bagi mencabar undang-undang larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Menterinya, Teresa Kok berkata, pihaknya sudah menghantar dokumen berkaitan kepada Kabinet dan ia masih dalam proses semakan sebelum dihantar kepada badan dunia itu.
“Bagi Malaysia perkara itu masih berjalan. Kita sedang proses menghantar kertas Kabinet untuk mendapatkan pengesahan daripada Kabinet tentang saman kepada WTO.
“Kami mahu terus memerangi langkah-langkah ketat minyak sawit melalui WTO,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (MMPOPC) kedua di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto dalam sidang media sama berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia untuk mengambiltindakan itu.
“Bagi WTO, saya fikir setiap negara dalam proses perundangan dan mengambil tindakan undang-undang.
“Saya fikir Indonesia dan Malaysia dalam penyelarasan mengenai isu-isu kritikal tertentu.
“Dari segi teknikalnya saya fikir kira serahkan kepada peguam, tapi kita masih memantau apa prosedur dan prosesnya,” katanya.
Airlangga juga berkata, Indonesia tidak mendahului Malaysia dalam memfailkan saman itu sebaliknya sentiasa bersama dengan Malaysia susulan semakan perundangan itu memakan masa.
“Proses dokumentasi itu kita tak tentukan bila nak mula dan bila akan selesai.
“Apa yang lebih penting kami bersama (Malaysia-Indonesia). Bila kita bersama, kita ada kedudukan lebih baik,” katanya.
Teresa berkata, kedua-dua negara itu sentiasa berunding antara satu sama lain dalam proses mencabar perundangan larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit itu.
“Di negara-negera Eropah, sebahagian daripada pesuruhjaya belum dilantik lagi malah sehingga ke hari ini.
“Kita mahu mereka selesaikan dahulu isu Brexit dan dalam masa sama kita teruskan proses dokumentasi itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette