Home Dunia AS tidak lagi mengecualikan sekatan tapak nuklear Iran

AS tidak lagi mengecualikan sekatan tapak nuklear Iran

Mike Pompeo. foto Agensi

WASHINGTON- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, negara itu telah menamatkan pengecualian sekatan berkaitan loji nuklear Fordow milik Iran.

Mike Pompeo menambah, AS sedang memantau secara dekat protes di Iran dan bimbang tentang laporan beberapa kematian.

“Jumlah pengayaan uranium yang tepat untuk penaja pengganas terbesar di dunia adalah sifar … Tidak ada alasan yang sah untuk Iran meneruskan pengayaan di lokasi rahsia sebelum ini,” kata Pompeo pada taklimat media mengenai lokasi Fordow, yang mana pengawas atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Iran telah memperkayakan uranium.

Beliau menambah, pengecualian itu akan berakhir pada 15 Disember.

Pompeo mengatakan Iran telah membuat “satu lagi percubaan jelas pemerasan nuklear” yang akan membawa kepada pengasingan ekonomi dan politik daripada dunia.

Protes telah merebak ke Republik Islam sejak hari Jumaat, dengan Pengawal Revolusi Iran memberi amaran pada hari Isnin akan mengambil tindakan jika pergolakan terhadap kenaikan harga petrol tidak berakhir.

Sekurang-kurangnya 100 bank dan puluhan bangunan dan kereta telah dibakar, lapor media negara.

“Kami mengutuk sebarang tindakan keganasan yang dilakukan oleh rejim ini terhadap rakyat Iran dan amat prihatin dengan laporan beberapa kematian.

“Republik Islam ini mesti menghentikan keganasan terhadap rakyatnya sendiri dan segera memulihkan keupayaan rakyat Iran dengan memberi kebebasan dan akses Internet. Dunia melihat,” katanya. – MalaysiaGazette