BANGI – Aplikasi ‘Kalkulator’ di laman web Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh berperanan sebagai alat sokongan untuk pencarum merancang simpanan mencukupi bagi persaraan mereka.

Kalkulator Simpanan dan Kalkulator Persaraan KWSP, yang boleh diakses diwww.kwsp.gov.my atau menerusi pencarian di google bagi kata kunci ‘kalkulator KWSP’, menyediakan maklumat penting bagi pencarum untuk membuat keputusan bijak dalam merancang kehidupan hari tua mereka.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS), Janaith Lee berkata, ‘Kalkulator’ merupakan satu daripada aplikasi yang digunakannya pada sesi dengan pencarum KWSP sebagai panduan untuk merancang persaraan dan kewangan mereka.

Bergantung kepada jenis gaya hidup yang seseorang itu mahukan apabila bersara, katanya ‘Kalkulator’ akan membantu memberikan idea terhadap soalan seperti “berapa banyak adalah mencukupi?” “berapa banyak yang anda perlu bagi persaraan?”, “adakah anda sudah bersedia untuk bersara?” dan “bagaimana untuk anda belanjakan wang apabila bersara?”

“Kalkulator Simpanan KWSP mengunjurkan jumlah simpanan yang dijangkakan pada umur persaraan bagi akaun satu dan dua manakala Kalkulator Persaraan dapat menganggarkan jumlah simpanan yang diperlukan mengikut umur, perbelanjaan apabila bersara dan baki simpanan pada akhir tahun, dengan turut mengambil kira kadar inflasi,” kata Lee kepada Bernama, di sini, baru-baru ini.

Objektif RAS adalah untuk memupuk kesedaran dan pada sesi bersemuka yang biasanya mengambil masa 30-45 minit, pegawai RAS akan berkongsi maklumat mengenai persaraan dan perancangan kewangan dengan setiap pencarum, jelasnya.

“Setiap sesi disusun untuk memberikan kesedaran dan panduan asas kepada ahli KWSP tentang pelbagai cara untuk membuat perancangan persaraan dan kewangan. Tetapi kuasa bertindak terletak di tangan pencarum,” kata Lee, yang bertugas di KWSP Kota Kinabalu.

Katanya, pasukan RAS memberikan nasihat mengenai skop asas bagi perancangan persaraan dan kewangan serta produk dan perkhidmatan KWSP seperti Skim Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun, pilihan untuk mencarum secara sukarela, kadar caruman statutori, simpanan dalam Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia (SP1M); caruman pilihan sendiri dan skim pengeluaran KWSP yang lain.

Berhubung sama ada adakan sudah agak terlambat bagi pencarum yang sudah berusia untuk merancang kewangan bagi persaraan, Lee berkata perancangan sepatutnya bermula sewal mungkin, tanpa mengira tahap usia dan peringkat kehidupan.

“Lebih lama anda bertangguh dalam membuat perancangan persaraan anda, ia akan menjadi lebih sukar berikutan peningkatan kos hidup,” katanya. – MalaysiaGazette