Home Nasional Keputusan AS iktiraf penempatan Israel di Gaza tak masuk akal

Keputusan AS iktiraf penempatan Israel di Gaza tak masuk akal

Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Keputusan terkini ke atas penempatan Israel di dalam wilayah Palestin tidak masuk akal.

Ia seolah-olah mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina penempatan, kini ia adalah sah dan dihalalkan. Kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahathir juga melahirkan perasaan bimbang kerana pengumuman itu akan menggalakkan lagi kekejaman tentera Israel yang ketika ini sedang ghairah melakukan pembunuhan dan serangan ganas ke atas Gaza yang menyebabkan ramai kanak-kanak terkorban.

“Anda mengumumkan bahawa penempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan keganasan di Gaza..tidakkah ini mengalakkan mereka untuk membunuh kanak-kanak dan orang awam dan mereka tidak akan dihukum? Sebaliknya mereka diberi ganjaran untuk membina penempatan di tanah penduduk yang telah mati mereka bunuh,” katanya.- MalaysiaGazette

Beliau mengulas laporan Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo yang mengumumkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram.

Menurut Mahathir, tanggapan itu secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Langkah Trump itu menyebabkan kemarahan di peringkat antarabangsa kerana ia bertentangan dengan keputusan pentadbiran AS pada tahun 1978 di mana penempatan tersebut adalah haram dan tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.