Home Nasional Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik

Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik

Banyak pengeluar sekarang menggunakan istilah makanan sunnah untuk melariskan produk mereka.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat pengeluar produk makanan berasaskan sunnah perlu memberi jaminan keselamatan terhadap produk-produk keluaran mereka, di samping mengemukakan kajian serta bukti-bukti saintifik bagi menyokong serta menambah keyakinan terhadap produk berkenaan.

Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Norkumala Awang berkata apa yang membimbangkan ialah ada kalangan pengeluar ini bebas menentukan dan membuat pelbagai dakwaan mengenai keselamatan produk mereka, di samping melabel dos pengambilan produk itu tanpa melakukan sebarang kajian makmal terlebih dahulu.

“Perbuatan ini sebenarnya salah di sisi undang-undang… malah ada antara mereka turut mencampur aduk kombinasi bahan yang tidak diketahui, menyembunyikan kandungan produk dan mencampur racun berjadual ke dalam produk itu.

“Ini tindakan yang salah, dibuat semata-mata untuk meraih keuntungan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Seminar ‘Kefahaman Islam Mengenai Makanan Sunnah dan Makanan Moden’ di sini, hari ini.

Seminar selama dua hari bermula hari ini memfokuskan perbincangan secara akademik mengenai pengaruh perkembangan sains dan teknologi terhadap fungsi makanan yang menyumbang kepada kesihatan masyarakat awam.

Sementara itu pegawai penyelidik KIAS, Muhammad Mustaqim Malek menyarankan masyarakat untuk mengamalkan gaya pemakanan dan gaya hidup yang sihat seiring dengan amalan makanan berasaskan sunnah.

“Islam menganjurkan umatnya untuk tidak berlebih-lebihan dalam pemakanan, sebagai contoh seseorang yang mempunyai penyakit kencing manis tidak digalakkan memakan kurma dengan banyak kerana kandungan gulanya yang tinggi boleh mengakibatkan mudarat walaupun umum mengetahui kurma adalah salah satu makanan sunnah,” katanya.

— BERNAMA