KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Oktober meningkat 1.1 peratus kepada 122.0 berbanding 120.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Minuman Alkohol & Tembakau (2.2%), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2%), Pendidikan (1.9%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.8%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus kepada 122.0 berbanding bulan September 2019.
Peningkatan ini disumbangkan oleh Komunikasi (1.6%), Pengangkutan (0.2%), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.1%), Kesihatan (0.1%) dan Pendidikan (0.1%).
Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2019 meningkat 0.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.8 peratus pada Oktober 2019 berbanding tempoh masa yang sama pada tahun sebelumnya.
Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan Susu & Telur (2.3%), Ikan & Makanan Laut (1.4%), Buah-buahan (1.4%) dan Keluaran Makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (1.4%).
Indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 2.9 peratus pada Oktober 2019 berbanding Oktober 2018. Kenaikan harga bagi Ayam Goreng, Burger dan Makanan Laut selain Ikan telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.
Tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.3%), Pulau Pinang (1.3%) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.2%) menunjukkan kenaikan melepasi paras IHP nasional 1.1 peratus pada Oktober 2019 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Kenaikan tertinggi telah direkodkan oleh Johor (2.5%) diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.4%), Pulau Pinang (2.1%) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.0%).
Kenaikan ini adalah melebihi paras indeks nasional kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol bagi bulan Oktober 2019. – MalaysiaGazette