LISBON – Beribu-ribu polis berarak ke Parlimen untuk menuntut gaji yang lebih baik.
Ia merupakan protes besar-besaran dilakukan oleh polis sejak Sosialis menguasai negara ini pada tahun 2015.
Para penganjur menjangkakan kira-kira 10,000 penunjuk perasaan daripada pelbagai agensi polis menyertai protes tersebut.
Pelbagai sepanduk diangkat oleh para penunjuk perasaan, antaranya “Kami melindungi rakyat, tapi siapa yang melindungi kami?”.
Selain menuntut gaji yang lebih tinggi, mereka juga mahu peralatan baru, faedah yang lebih baik serta semakan ke atas kesihatan dan keselamatan dilakukan.
“Ini adalah ketidakadilan yang besar kerana polis dibayar gaji yang hampir dengan gaji minimum,” kata Paulo Macedo, Naib Presiden Kesatuan Polis.
Gaji permulaan untuk pegawai polis Portugal ialah 789 euro sebulan, berbanding 1,309 euro untuk kedudukan setara di Poland dan 1,309 euro di Perancis.
Dalam satu kenyataan awal minggu ini, persatuan polis mengatakan kerajaan Sosialis gagal menjanjikan janji-janji yang dibuat.
Malah, dakwa mereka, kerajaan telah “membahayakan bukan sahaja kestabilan institusi tetapi keselamatan awam di Portugal”.
Sosialis telah dipilih semula pada pilihan raya umum pada 6 Oktober tetapi gagal memenangi majoriti penuh.
Seorang jurucakap Parti Sosialis berkata, pihaknya menghormati hak polis untuk melakukan protes dan kerajaan akan memberi “perhatian mendalam” terhadap tuntutan mereka.
Kesatuan dan kerajaan akan mengadakan perbincangan pada separuh pertama 2020 untuk mengkaji semula pelaburan ke dalam pasukan polis. – MalaysiaGazette