NARATHIWAT – Polis Thailand hari ini berjaya merampas hampir dua juta pil kuda bernilai 144 juta baht (RM19.8 juta) di Narathiwat yang dipercayai cuba diseludup ke Malaysia dalam satu serbuan awal pagi Khamis.
Dalam serbuan kira-kira 12.30 awal pagi (waktu tempatan), Ketua Polis Wilayah Narathiwat Pol. Mej Jen Narin Busaman berkata polis menemui 43 bungkusan besar yang mengandungi hampir dua juta pil kuda di sebuah gudang.
“Dadah tersebut dipercayai dari wilayah utara Thailand dan disimpan dalam sebuah gudang di Phatthalung di Daerah Mueang, Narathiwat. Namun, ketika serbuan, tiada penghuni di gudang itu.
“Siasatan awal polis mendapati sindiket pengedaran dadah itu berpengaruh dan mempunyai rangkaian jenayah rentas sempadan,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata usaha menjejaki dalang sindiket dadah itu dipergiat.
Polis tidak mendedahkan susupek yang sedang diburu namun Bernama difahamkan sindiket itu aktif di sempadan Thailand-Malaysia.- BERNAMA