KUALA LUMPUR- Malaysia telah meminta bank-bank untuk menghantar cadangan untuk membantu penjualan bon Samurai terbaharu – kurang setahun selepas ia menjual kertas hutang dalam denominasi yen pertamanya dalam tempoh tiga dekad.
Menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut, Malaysia telah menjemput Daiwa Securitites Group Inc., Mitsubishi UFJ Financial Group Inc., Mizuho Financial Group Inc., Nomura Holdings Inc. dan Sumitomo Mitsui Financial Group Inc. untuk menghantar kertas-kertas cadangan pada Oktober.
Saiz tawaran masih belum diputuskan, kata sumber berkenaan.
Perbincangan masih terlalu awal dan mungkin belum menghasilkan sebarang keputusan muktamad.
Wakil Kementerian Kewangan enggan memberi sebarang komen.
Langkah tersebut menunjukkan Malaysia berada di landasan untuk menjual bon-bon Samurai pada suku pertama tahun depan seperti mana yang dirancang.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan hubungan rapatnya dengan Jepun, negara yang paling kerap dilawatinya sejak kembali menjadi pemerintah tahun lalu untuk mendapatkan kos pinjaman yang lebih rendah bagi membiayai defisit fiskal.
Kerajaan telah menjual bon bertempoh 10 tahun bernilai 200 bilion yen pada kupon 0.53 peratus pada Mac lalu.
Bon tersebut dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation.- Bloomberg