KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan indeks komposit bergerak melepasi paras 1,600 di atas sokongan perkembangan luaran yang positif.
Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata. kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China akan terus menguasai sentimen dalam pasaran ekuiti global.
“Sentimen positif minggu lepas apabila Naib Perdana Menteri China menjemput Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin ke Beijing bagi rundingan selanjutnya, akan terus mempengaruhi ekuiti minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, paras ketahanan kini berada pada 1,610 manakala paras sokongan pada 1,590, dengan menambah tidak akan ada pemangkin tempatan untuk menggerakkan pasaran minggu depan.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan tidak menentu kebanyakannya dipengaruhi oleh rundingan perdagangan AS-China dengan prospek bagi perjanjian perdagangan ‘fasa pertama’ menjadi suram selepas satu laporan menyatakan Beijing pesimis terhadap prospek masa depan.
Langkah Senat AS yang menyokong rang undang-undang hak asasi manusia Hong Kong juga nampaknya membayangkan prospek untuk mencapai penyelesaian baik di bawah rundingan perdagangan yang sedang berlangsung sekarang adalah sangat tidak pasti.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 2.09 mata kepada 1,596.84 daripada 1,594.75 sebelumnya.
Indeks FBM Emas meningkat 14.72 mata kepada 11,328.49, Indeks FBMT 100 naik 12.68 mata kepada 11,138.49, Indeks FBM Emas Shariah menambah 34.18 mata kepada 11,870.13 dan FBM 70 menokok 8.13 mata kepada 14,103.61.
Bagaimanapun, Indeks FBM Ace jatuh 29.07 mata kepada 4,891.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 62.54 mata kepada 15,549.19 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.85 mata kepada 151.53 tetapi Indeks Perladangan melonjak 249.46 mata kepada 7,178.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.41 bilion unit bernilai RM10.18 bilion daripada 11.90 bilion unit bernilai RM8.56 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 8.94 bilion unit bernilai RM6.84 bilion berbanding 7.70 bilion unit bernilai RM7.61 bilion.
Jumlah dagangan waran menokok 1.61 bilion unit bernilai RM333.33 juta berbanding 1.6 bilion unit bernilai RM332.93 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 2.86 bilion unit bernilai RM592.59 juta berbanding 2.59 bilion unit bernilai RM611.58. – MalaysiaGazette