KUALA LUMPUR – Penilaian semula Malaysia sebagai negara maritim perlu dilaksanakan secara menyeluruh, kata Mohamad Sabu.
Menteri Pertahanan berkata, langkah itu bukan hanya disebabkan oleh faktor perubahan ekonomi dan politik serantau tetapi juga oleh peningkatan ancaman keselamatan serantau yang datang dari arah perairan negara.
Katanya, cabaran yang dihadapi Malaysia sebagai sebuah negara maritim masih perlu dibincangkan secara mendalam.
“Sejarah telah membuktikan bahawa kita adalah bangsa pelaut yang hebat dan dipuncak kegemilangannya, Kesultanan Melaka adalah empayar merangkumi sebahagian besar di Asia Tenggara dan menjadi pelabuhan penting sejak abad ke-15.
“Atas faktor sejarah dan pertalian sosioekonomi negara ini dengan laut itulah yang membolehkan kita dikenali sebagai negara maritim dan idea itu diperkukuhkan sejak Rancangan Malaysia Ke-4 (1982-1986)
“Keupayaan sebagai negara maritim juga didorong pelbagai faktor iaitu kedudukan geografi dan fizikal selain terletak di laluan perdagangan antarabangsa di antara India dan China serta Timur dan Barat sehingga menjadi ‘gerbang penjalin rantau Pasifik dan Launtan Hindi.
“Namun demikian, kesemua faktor tersebut belum mencukupi untuk secara automatik mendefinisikan sebagai sebuah negara Maritim,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Insititut Kajian Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) 2019 bertemakan “Defending Maritime Nation: Whither MAF Joint Force?” (Mempertahankan Sebuah Negara Maritim: Apa Hala Tuju Kuasa Kebersamaan ATM?) hari ini.
Menurut Mohamad, negara yang kaya dengan sumber laut dan kedudukan strategik di tengah laluan perkapalan dunia masih perlu mempergiatkan usaha untuk memanfaatkan sumber yang ada secara optimum dan mampan bagi melayakkan diri untuk digelar sebagai sebuah negara maritim sebenar.
Sementara itu, Mohamad berkata, angkatan tentera telah melalui pelbagai transformasi daripada pasukan penentang kepada pasukan yang mampu menghadapi sebarang ancaman bersepadu di darat, perairan, udara dan kini siber.
Bagaimanapun, tambah beliau, angkatan tentera masih perlu dipermodenkan dengan kelengkapan senjata terkini.
Bercakap sidang media, Mohamad berkata, kelengklapan senjata moden yang dimiliki angkatan tentera negara masih belum mencukupi dan ia memerlukan peruntukan untuk disalurkan kepada industri dan pakar penyelidikan pertahanan.
“Ini yang kami perlu fokus dan kita harapkan ada kekuatan kewangan untuk pertahanan diberi perhatian oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke12 dan Ke-13,” katanya.-MalaysiaGazette