KUALA LUMPUR – Pergolakan rumah tangga Adira Suhaimi kembali pulih apabila penyanyi itu memberitahu dia kini dalam proses menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya, Datuk Red yang difailkan pada 1 April lalu.
Menurut Adira, dia memberi peluang sekali lagi dan berharap suaminya akan menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.
Ujarnya lagi, dia tidak meletakkan sebarang syarat dengan suaminya sejak kembali berbaik seminggu lalu.
“Saya dalam proses untuk menarik balik permohonan cerai dan saya berikan suami saya peluang sekali lagi. Harap, dia akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin.
“Saya tak letakkan apa-apa syarat. Cuma, selagi saya boleh bersabar, saya akan bersabar. Namun, sabar manusia ada hadnya dan harapnya, dia tidak melangkaui had itu,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Adira berkata, keputusan itu dibuat selepas berfikir panjang dan tidak boleh mementingkan diri sendiri.
Apa yang paling penting baginya adalah kebahagiaan anak-anak yang masih kecil.
“Saya buat keputusan ini kerana saya dah berfikir panjang dan paling penting, adalah anak-anak. Apa yang saya belajar, kita sebagai manusia tak boleh membuat keputusan secara terburu-buru dan pentingkan diri kita sahaja.
“Saya harap, semua dapat doakan yang baik untuk suami dan anak-anak saya,” katanya. – MalaysiaGazette