Home Nasional Kesan tikaman ditemui pada badan pasangan warga emas rentung

Kesan tikaman ditemui pada badan pasangan warga emas rentung

Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri pula memaklumkan mangsa yang maut adalah suami isteri dikenali sebagai Kamal Mustafa dipercayai berketurunan Arab dan isteri Kamariah Talib, seorang warga tempatan.

IPOH – Beberapa kesan tikaman ditemui pada badan pasangan suami isteri warga emas yang mati rentung dalam kebakaran di sebuah unit apartmen di Taman Meru Impiana dekat Meru Raya, semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak ACP Anuar Othman.

Beliau berkata berikutan hasil bedah siasat itu, polis kini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh, dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kesan tikaman yang ditemui pada si suami adalah pada bahagian dada manakala si isteri di bahagian belakang… terdapat beberapa tikaman.

“Hasil daripada bedah siasat itu juga kita percaya si isteri telah meninggal dunia 24 jam (sebelum kebakaran) dan kemungkinan juga selepas itu si suami datang membuat kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata pihaknya kini sedang menyiasat semua aspek termasuk motif dan punca kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan dengan saksi mengatakan ada kedengaran bertengkar sebelum kejadian. Kita sedang siasat balik motif untuk tahu punca mereka bergaduh sama ada sebab kewangan atau sebab lain,” katanya.

Anuar berkata pihaknya juga sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata siasatan awal pihak bomba telah menemukan dua tong gas di ruang ramu rumah tersebut yang sepatutnya berada di dapur.

Katanya, mangsa wanita berkenaan berumur 74 tahun, manakala lelaki juga berusia 70-an.

Sebelum itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri pula memaklumkan mangsa yang maut adalah suami isteri dikenali sebagai Kamal Mustafa dipercayai berketurunan Arab dan isteri Kamariah Talib, seorang warga tempatan.

— BERNAMA