Home Sukan Sukan SEA: Malaysia sekadar seri

Sukan SEA: Malaysia sekadar seri

MANILA, 25 Nov -- Pemain Malaysia, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak ketika meraikan jaringan gol pada aksi pembukaan bola sepak lelaki menentang Myanmar sempena Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal hari ini. Keputusan penuh Malaysia terikat 1-1 menentang Myanmar. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara gagal bermula dengan langkah kanan apabila sekadar seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi sulung Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial di Manila sebentar tadi.

Ketiadaan Safawi Rasid nyata memberi kesan apabila pemain muda, Luqman Hakim Shamsuddin yang mengisi tempat penyerang JDT itu gagal memainkan peranannya.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee yang menggunakan formasi 3-4-3 turut memberikan kepercayaan kepada seorang lagi pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan untuk berada dalam kesebelasan utama.

Namun kedua-dua pemain berusia 17 tahun itu dikeluarkan pada awal babak kedua perlawanan.

Dalam perlawanan pembukaan itu, Myanmar terlebih awal membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang, Soe Moe Kyaw yang menyudahkan sepakan sudut pada minit ke-14.

Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak muncul penyelamat apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-24 hasil hantaran Muhammad Akhyar Rashid.

Sementara itu, anak buah Kim Swee akan menentang tuan rumah Filipina pada Jumaat ini. – MalaysiaGazette